Agong, Permaisuri cemar duli tinjau projek Pan Borneo Sabah
6 SEPT : Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dan Raja Permaisuri Agong, Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah berkenan mencemar duli melawat tapak Pakej Kerja 29 Jalan Moynod-Sapi Nangoh, Projek Lebuhraya Pan Borneo (LPB) Sabah, semalam.
Keberangkatan tiba Al-Sultan Abdullah dan Tunku Azizah itu disambut Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi dan Pembantu Menteri Kerja Raya Sabah, Datuk Limus Jury.
Dalam lawatan itu, Al Sultan Abdullah turut berkenan mendengar sembah maklum daripada Nanta berhubung latar belakang dan status semasa pelaksanaan Projek LPB Sabah yang kini 83% siap bagi 15 pakej kerja Fasa 1A Projek LPB Sabah.
Keberangkatan julung kali pasangan diraja itu turut menzahirkan keprihatinannya dalam usaha kerajaan menambah baik infrastruktur jaringan jalan raya di Sabah yang merupakan pemangkin pembangunan sosio-ekonomi dan perindustrian selain menambah baik keselesaan dan keselamatan pengguna jalan raya.
Mengulas perkembangan projek itu, Nanta berkata antara masalah yang dikenal pasti untuk menyiapkan projek itu melibatkan bekalan bitumen iaitu bahan bagi membina jalan raya bertar.
Justeru, kementeriannya akan melakukan libat urus bersama Kerajaan Sabah bagi mengatasi masalah tersebut.
“Saya difahamkan JKR Sabah juga mengadakan libat urus bersama pihak pembekal (bitumen) iaitu Syarikat Petroliam Bhd dan Shell Malaysia supaya bekalan bitumen itu nanti tidak terganggu.
“Selain itu, koordinasi antara Jabatan Kerja Raya (JKR) dengan pihak utiliti seperti Sabah Electricity Sdn Bhd (SESB) perlu diperbaiki,” katanya.
Nanta berkata beliau akan memanggil semua pihak terlibat dalam pembangunan lebuh raya itu termasuk SESB bagi mengelak berlaku sebarang masalah dan mengelakkannya daripada berulang, dijangka selepas lantikan kontraktor untuk baki 20 pakej kerja Lebuhraya Pan Borneo Sabah dilakukan.
Al-Sultan Abdullah dan Tunku Azizah dalam siri jelajah sejauh 2,154 kilometer Kembara Kenali Borneo dari 3 hingga 13 September bermula di Tawau, Sabah dan berakhir di Telok Melano, Sarawak merentasi Lebuhraya Pan Borneo yang menghubungkan Sabah, Sarawak serta Brunei.
Foto : Facebook Istana Negara