ASEAN-China harus saling percaya sebelum mula kerjasama
6 SEPT : Malaysia akan sentiasa berusaha melindungi kedaulatan negara dan juga rantau ASEAN daripada ancaman luar, kata Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Justeru, beliau berkata kepercayaan harus dipupuk terlebih dahulu antara China dan ASEAN sebelum mengadakan sebarang kerjasama pada masa akan datang.
“Saya ingin menekankan di sini, kerjasama pada masa akan datang sebahagian besarnya bergantung kepada rasa kepercayaan serta dialog pelbagai hala, khususnya dalam aspek keselamatan dan mempertahankan kepentingan ASEAN dan China,” kata beliau menerusi hantaran di akaun Facebooknya.
Beliau berkata demikian selepas sesi pertemuan antara pemimpin-pemimpin ASEAN dan Perdana Menteri China, Li Qiang sempena Sidang Kemuncak ASEAN-China ke-26, hari ini.
Anwar berkata, kedatangan Perdana Menteri China ke sidang tersebut mengukuhkan lagi hubungan antara semua pemegang taruh.
Tambah beliau, Malaysia dan rakan-rakan ASEAN sentiasa menganggap China sebagai jiran dan rakan dagang yang penting khususnya dalam aspek perdagangan, pelaburan dan susunan keselamatan.
Sebelum ini pertemuan antara ASEAN dan China dilaporkan antara yang menjadi tumpuan sepanjang Sidang Kemuncak ASEAN ke-43 di Jakarta, selepas China menerbitkan ‘Peta Standard China 2023’ pada September – antara lain menunjukkan garisan sepuluh yang jelas memasuki kawasan Zon Eksklusif Ekonomi (EEZ) di perairan Sabah dan Sarawak di Laut China Selatan.
Dalam pada itu Anwar berkata, kerjasama antara China dan ASEAN harus bermula dengan versi ketiga Perjanjian Perdagangan Bebas ASEAN-China.
Katanya, hal itu menunjukkan Malaysia sentiasa terbuka kepada usaha mengukuhkan hubungan dengan negara itu.
“Suka juga saya berkongsikan tentang Rangka Kerja Ekonomi Madani Malaysia tetapi hubungan dengan China, sama ada perlu diperkukuhkan lagi, terkait kepada kebergantungan kita dalam isu seperti keterjaminan makanan dan informasi digital.
“Justeru, Perjanjian Kerjasama Teknikal ASEAN-China boleh mengenal pasti bidang baharu untuk kerjasama dalam inovasi, teknologi, pendidikan, seperti saya lihat di bawah kepimpinan China telah mengubah negara itu,” katanya.
Anwar berkata, beliau percaya negara ASEAN boleh memanfaatkan hubungan yang terjalin daripada aspek program kerajaan, kepentingan rakyat dan program pertukaran rakyat ke rakyat.
Terdahulu Presiden Indonesia Joko Widodo dalam ucaptamanya sebagai Pengerusi ASEAN berkata kerjasama konkrit antara China dan ASEAN adalah sesuatu yang diperlukan.
Lawatan Li itu merupakan pertama kali beliau di pentas ASEAN dan kunjungan pertamanya di negara Asia selepas menjawat jawatan sebagai Perdana Menteri China pada Mac lepas. OLEH: AISYAH BADRUL
Foto : Facebook Anwar Ibrahim