6 SEPT: United Kingdom akan mengharamkan pasukan upahan Rusia, kumpulan Wagner selain mahu organisasi itu diletakkan di bawah undang-undang anti-keganasan seperti kumpulan Daesh dan Al-Qaeda.
Memetik laporan Daily Mail, Setiausaha Dalam Negeri, Suella Braverman berkata organisasi tersebut turut dilabel sebagai pengganas dan pemusnah yang bertindak sebagai alat ketenteraan Vladimir Putin di luar negara.
Katanya, aktiviti berterusan Wagner terus mengganggu kestabilan demi memenuhi matlamat politik Kremlin.
Dalam pada itu, Braverman berkata Setiausaha Dalam Negeri mempunyai kuasa untuk mengharamkan sesebuah organisasi jika mereka percaya ia terbabit dalam keganasan di bawah Akta Keganasan 2000.
Jelasnya, perintah larangan itu menjadikannya satu kesalahan jenayah untuk menyokong kumpulan itu.
“Mereka adalah pengganas dan pelaksanaan perintah larangan dalam undang-undang UK membolehkan perkara ini difahami dengan jelas,” katanya.
Sementara itu, Braverman berkata operasi kumpulan itu di Ukraine, Asia Barat dan Afrika ‘adalah ancaman kepada keselamatan global’.
Tambahnya, pihaknya melarang pertubuhan pengganas ini dan terus membantu Ukraine di mana sahaja bagi memerangi Rusia kerana kumpulan itu terbabit dalam rompakan, penyeksaan dan pembunuhan kejam.
Menurut laporan terkini, satu draf undang-undang yang bertujuan untuk mengharamkan Kumpulan Wagner di bawah akta itu akan dibentangkan di Parlimen hari ini.
Julai lalu, Britain mengumumkan sekatan terhadap 13 individu dan perniagaan yang dikatakan mempunyai kaitan dengan kumpulan Russia di Afrika.
Mereka didakwa melakukan jenayah di sana termasuk pembunuhan dan penyeksaan.
Individu berkenaan, tidak dibenarkan berurusan dengan warga UK, syarikat dan bank, dengan sebarang aset mereka di UK dibekukan kerana didakwa terbabit dalam aktiviti Wagner di Mali, Republik Afrika Tengah (CAR) dan Sudan.
Pengasas Wagner, Yevgeny Prigozhin yang meninggal dunia bulan lalu dalam nahas pesawat bersama beberapa komander utamanya telah disekat oleh Britain kerana terbabit dalam perang Rusia di Ukraine.
Prigozhin yang merupakan orang keprcayaan Kremlin dan kemudiannya menjadi pengkhianat meninggal dunia dua bulan selepas mengarahkan tenteranya untuk menjatuhkan kepimpinan tentera Rusia.