6 SEPT : Bank Negara Malaysia (BNM) bakal mewujudkan Portal Fraud Kebangsaan yang dijangka siap menjelang pertengahan tahun depan bagi menambah baik Pusat Respons Scam Kebangsaan.
Usaha ini dijalankan dengan kerjasama Payments Network Malaysia Sdn Bhd (PayNet) dan industri kewangan.
Timbalan Gabenor BNM, Datuk Marzunisham Omar berkata portal itu bertujuan mengautomasikan dan meningkatkan keupayaan pengesanan jejak dana terbabit selain mengenal pasti kalangan individu atau kelompok keldai akaun.
“BNM sedang bekerjasama dengan industri kewangan serta PayNet bagi menambah baik Pusat Respons Scam Kebangsaan dengan pengautomasian proses mengesan dan menjejak pergerakan dana yang dicuri daripada mangsa scam (penipuan) kewangan.
“Kita berharap langkah ini dapat meningkatkan lagi usaha untuk menjejak dan membekukan dana serta melindungi mangsa daripada mengalami kerugian,” katanya selepas program bengkel media dan perbincangan panel mengenai penipuan kewangan di Lanai Kijang BNM, lapor Bernama.
Marzunisham menyifatkan perkembangan pesat teknologi tidak hanya memberi banyak manfaat kepada industri kewangan serta pengguna tetapi turut meningkatkan penipuan yang dijana atau berteraskan kecerdasan buatan (AI).
“Ini adalah sesuatu yang perlu kita bendung dan lindungi. Kita juga tidak mahu memandang remeh kemampuan penipu ini yang menggunakan pelbagai kaedah untuk memperdayakan orang ramai,” katanya.