7 SEPT : Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur hari ini melepas dan membebaskan Ahli Parlimen Kinabatangan, Datuk Seri Bung Moktar Radin dan isterinya, Datin Seri Zizie Izette Abdul Samad daripada pertuduhan rasuah yang dihadapi mereka.
Hakim, Datuk Azhar Abdul Hamid membuat keputusan itu selepas membenarkan permohonan pasangan itu untuk semakan terhadap keputusan Mahkamah Sesyen yang memerintahkan mereka membela diri atas tiga pertuduhan rasuah berjumlah RM2.8 juta membabitkan pelaburan RM150 juta dalam unit amanah Public Mutual Berhad.
Beliau berkata kekhilafan Mahkamah Sesyen mengarahkan pasangan itu membela diri adalah suatu yang tidak adil memandangkan tiada bukti Bung menerima wang daripada isterinya.
Terdahulu, Ketua UMNO Sabah itu dilaporkan didakwa atas dua pertuduhan menerima rasuah berjumlah RM2.2 juta dan RM262,500 sebagai suapan untuk mendapatkan kelulusan Felcra untuk membuat pelaburan RM150 juta dalam unit amanah Public Mutual.
Bung juga didakwa menerima suapan berkenaan daripada ejen pelaburan Public Mutual Madhi Abdul Hamid melalui Zizie di cawangan Public Bank Taman Melawati antara 12.30 tengah hari dan 5 petang pada 12 Jun 2015.
Ketua Umno Sabah itu turut didakwa menerima suapan RM337,500 daripada seorang lagi ejen pelaburan Public Mutual, Norhaili Mokhtar atas nama Zizie di lokasi sama pada 19 Jun 2015.
Sementara itu, Zizie didakwa atas tiga pertuduhan bersubahat dengan suaminya dalam kesalahan yang sama.
Semasa perbicaraan berlangsung, Zizie dilaporkan menangis di dalam kandang tertuduh bersebelahan suaminya.