Kemalangan maut 6 beranak, PM serah sumbangan
8 SEPT : Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menyampaikan sumbangan kepada remaja lelaki yang kehilangan ibu dan bapa serta empat adiknya akibat kemalangan di Kilometer 5, Jalan Segamat-Kuantan, Jumaat lalu.
Menurut beliau, sumbangan kepada Abdul Rahman Amir Ruddin, 19 diserahkan oleh oleh Setiausaha Politiknya, Ahmad Farhan Fauzi, semalam.
“Saudara Farhan menyampaikan sumbangan dari pihak saya bagi mereda ujian dan beban yang ditanggung Rahman.
“Saya mohon teman-teman untuk turut bantu dan mendoakan buat Rahman agar kekal kuat semangat dan tabah menghadai ujian-Nya.
“Semoga ahli keluarganya dikurniakan keampunan dan diberi tempat yang istimewa di sisi-Nya,” kongsi Anwar menerusi hantaran di Facebook.
Sebelum ini, ibu dan bapa Abdul Rahman iaitu Norahimah Noor Muhammad, 43 dan Amir Ruddin Ismail, 46 terkorban dalam nahas ngeri pada 1 September.
Empat lagi adik beradiknya Fatimatulzahrah, 17; Seri Khadijah Aqilah, 13; Rufaidatul Asyariyah, 10 dan Muhammad Assyakrawi, 5 turut terkorban setelah kereta Perodua Alza yang mereka naiki bertembung dengan sebuah lori.
Seorang lagi adiknya, Abdullah Amir Ruddin masih dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) Hospital Segamat, Johor ketika ini.
*Foto : Facebook Anwar Ibrahim