8 SEPT : Pangkalan Data Utama (PADU) akan menjadi sistem teras bagi mengurangkan risiko ketirisan dalam agihan subsidi bersasar atau bantuan kepada kumpulan sasar.
Menurut Ketua Perangkawan, Datuk Seri Mohd Uzir Mahidin, PADU dikatakan mampu mengenal pasti tahap pendapatan serta sosioekonomi kumpulan masyarakat dengan lebih sistematik.
Jela beliau, penyelarasan data PADU turut merangkumi bilangan isi rumah, rekod pendapatan, tanggungan anak mengikut peringkat pendidikan, lokasi dan bilangan kenderaan.
“PADU juga turut menyelaraskan rekod bantuan yang diterima dari jabatan kerajaan dan maklumat lain yang menentukan pendapatan boleh belanja setiap isi rumah.
“Itu tujuan penubuhan PADU, sebuah sistem yang menggabungkan lebih 200 pangkalan data setiap kerajaan untuk menyelaras pengumpulan maklumat negara secara berpusat, bersepadu dan senada,” katanya ketika ditemubual dalam program Agenda AWANI.
Dalam pada itu, beliau berkata perlaksanaan PADU juga membolehkan segala maklumat dikemas kini dengan lebih menyeluruh dan cepat sekali gus dapat memastikan segala pelaksanaan inisiatif kerajaan lebih menepati apa yang diperlukan menerusi program yang bakal dilancarkan bermula Januari 2024.
“Ia memerlukan satu urus tadbir data yang komprehensif, yang dikemas kini dengan lebih kerap.
“Jadi perkara-perkara seperti keterciciran dan ketidakketepatan dalam penyaluran bantuan dapat diperkemaskan dan yang paling penting sumber negara dapat diuruskan dengan lebih cekap dan tiada ketirisan,” katanya.
Sementara itu, Timbalan Ketua Setiausaha (Dasar) Kementerian Ekonomi, Datuk Dr Zunika Mohamed berpendapat PADU dapat menjadi penyelesaian kepada kerumitan pengurusan data dalam keadaan dunia yang semakin terhubung dan tuntutan perkongsian maklumat yang semakin luas dan pantas.
Namun, katanya matlamat ini hanya dapat dijayakan dengan kerjasama tidak hanya setiap komponen dalam kerajaan tetapi juga didorong pemahaman di peringkat rakyat terhadap kepentingannya kepada kehidupan mereka dan masa depan negara.
“Dengan sokongan rakyat untuk memberikan maklumat yang tepat, pada akhirnya mereka yang akan mendapat manfaatnya menerusi dasar-dasar kerajaan yang dibentuk dengan lebih objektif.
“Selain keupayaan berkongsi maklumat, kelancaran birokrasi dalam kalangan agensi-agensi kerajaan, perlu juga kesedaran rakyat tentang pentingnya kita punyai pangkalan data yang lengkap dan terkini.
“Jadi kalau kita boleh dapat kefahaman daripada semua pihak dan semua pihak bekerjasama, insya-Allah apa yang kita hasratkan dapat tercapai,” katanya.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim pada 15 Mei lalu berkata pelaksanaan PADU itu diputuskan dalam mesyuarat Majlis Tindakan Ekonomi Negara (MTEN) yang akan menggabungkan sebanyak mungkin maklumat sosio ekonomi bagi setiap isi rumah yang dapat membantu kerajaan menggubal dasar dan menyasarkan subsidi.
Katanya, menerusi PADU juga kerajaan dapat mengenal pasti ketirisan yang wujud sekali gus menambah baik pelaksanaan sistem subsidi kepada golongan sasaran.