10 SEPT : Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi berharap tiada mana-mana pihak memanipulasi kehadirannya ke Persidangan Tahunan DAP 2023 hari ini.
Ini kerana jelasnya, tindakan beliau itu hanyalah memenuhi jemputan parti itu yang dikira dalam satu pakatan pada hari ini menerusi Kerajaan Perpaduan.
“Sambutan tadi dengan tepukan bergemuruh secara ikhlas mengejutkan saya.
“Saya harap tidak ada interpretasi pelbagailah sebab dulu sembilan bulan yang lalu kita jadi seteru politik tetapi hakikatnya di dalam Kerajaan Perpaduan di bawah kepimpinan Datuk Seri Anwar Ibrahim landskap politik telah berubah.
“Kita menghormati antara satu sama lain terutamanya dari prinsip-prinsip yang telah dinyatakan oleh kepimpinan DAP perkara-perkara yang termaktub dalam perlembagaan itu dihormati dan itulah komitmen yang mereka perlihatkan,” katanya.
Beliau ditemui selepas Perasmian Penutupan Program Malaysia Next Leaders Bagan Datuk 2023 anjuran Akademi Kepimpinan dan Pendidikan Malaysia di Dewan Datuk Lope Hashim, Bagan Datuk hari ini.
Hadir sama, Timbalan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Shamsul Anuar Nasarah; Ketua Polis Perak, Datuk Seri Mohd Yusri Hassan Basri dan Ketua Pegawai Eksekutif Yayasan Pelajaran Mara (YPM), Faisalludin Mohamat Yusuff.
Terdahulu, media melaporkan Persidangan Tahunan DAP 2023 melakar sejarah apabila Ahmad Zahid Hamidi menghadiri persidangan itu buat kali pertama.
Ia merupakan persidangan pertama parti itu sejak pembentukan Kerajaan Perpaduan selepas Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) tahun lalu.
Antara ahli politik lain yang turut hadir pada persidangan itu Pengerusi DAP, Lim Guan Eng; Setiausaha Agung, Anthony Loke Siew Fook; Setiausaha Penganjur DAP, Steven Sim Chee Keong; Setiausaha Agung BN, Datuk Seri Zambry Abd Kadir dan Setiausaha Agung UMNO, Datuk Asyraf Wajdi Dusuki.