10 SEPT : Malaysia sedia menghulurkan bantuan kepada Maghribi dalam usaha menyelamat susulan gempa bumi yang melanda negara itu Jumaat lalu.
Perkara itu dinyatakan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menerusi laman Twitter rasminya dengan berkata, beliau terkejut dan sedih dengan tragedi menimpa negara tersebut.
Katanya lagi, Malaysia turut bersimpati kepada mangsa dan ahli keluarga mereka yang terjejas akibat gempa bumi itu.
“Semoga Allah memberikan kekuatan dan ketabahan kepada mereka,” katanya dalam status dimuat naik, sebentar tadi.
Gempa bumi terburuk melanda Maghribi dilaporkan telah mengorbankan lebih 2,000 mangsa setakat ini.
Bagaimanapun, Perdana Menteri turut memaklumkan rakyat Malaysia di sana dalam keadaan selamat dan kerajaan akan terus memantau situasi mereka.
Gempa bumi dengan magnitud 6.8 pada lewat Jumaat itu melanda kawasan pergunungan yang jaraknya 72 kilometer di barat daya bandar pelancongan Marrakesh.