10 SEPT : Malaysia mengucapkan takziah serta menitipkan doa kepada kerajaan Maghribi dan semua rakyatnya dengan tragedi gempa bumi yang melanda di Marrakech, di negara itu semalam.
Menteri Luar, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir dalam satu kenyataan hari ini berkata, beliau mengikuti secara dekat perkembangan terkini keadaan gempa bumi yang berlaku di negara itu.
Katanya, beliau telah menghubungi Duta Besar Malaysia ke Maghribi, Datuk Astanah Abdul Aziz bagi mendapatkan maklumat perkembangan terkini kejadian itu.
“Beliau memaklumkan kepada saya, sehingga kini tiada laporan yang membabitkan rakyat Malaysia. Semua rakyat Malaysia yang dihubungi setakat ini berada dalam keadaan selamat.
“Saya juga akan menghubungi rakan sejawatan saya, Menteri Hal Ehwal Luar Maghribi, Nasser Bourita bagi mendapatkan maklumat terkini bencana yang berlaku dan seterusnya menawarkan bentuk bantuan yang akan
diperlukan sehingga kini, ” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Terdahulu, dilaporkan angka kematian akibat gempa kuat yang melanda Maghribi telah meningkat kepada lebih 2,000 dengan kemusnahan menyeluruh di beberapa kawasan.
Dalam kejadian tersebut, gegeran kuat turut dirasai dari Casablanca ke Marrakesh yang menyaksikan banyak bangunan musnah atau alami kerosakan teruk.
Pihak istana telah mengisytiharkan tempoh berkabung selama tiga hari.