10 SEPT : Persidangan DAP 2023 hari ini mencipta sejarah apabila Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi hadir, selepas puluhan tahun kedua-dua parti menjadi seteru politik.
Kehadiran Timbalan Perdana Menteri ke persidangan itu adalah sebagai tetamu kehormat Kerajaan Perpaduan selepas Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).
Ahmad Zahid dilihat hadir bersama Setiausaha Agung Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir dan Setiausaha Agung UMNO, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki.
Antara yang turut hadir juga, Presiden Parti Amanah Negara (AMANAH), Datuk Seri Mohamad Sabu dan Naib Presiden PKR, Datuk Seri Amirudin Shari.
Untuk rekod, UMNO dan DAP tidak pernah menjalin kerjasama politik selama lebih tujuh dekad sejak UMNO ditubuhkan pada 11 Mei 1946.
Namun, permusuhan itu terlerai selepas UMNO menyertai 18 parti politik lain bagi membentuk Kerajaan Perpaduan.
Langkah itu diambil selepas tiada mana-mana gabungan parti politik boleh menubuhkan kerajaan secara bersendirian kerana gagal memperoleh majoriti mudah dalam Dewan Rakyat.
Penubuhan Kerajaan Perpaduan juga dibentuk atas nasihat Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.