Ada ruang tambah baik pengurusan kewangan negara
11 SEPT : Terdapat ruang untuk terus menambah baik strategi, tatakelola dan kecekapan dalam pengurusan kewangan negara.
Ini termasuk merangka strategi dan inisiatif bagi memantapkan lagi pengurusan hasil negara dalam memastikan kemampanan penjanaan hasil, kata Jawatankuasa Dasar Fiskal (FPC).
FPC yang dipengerusikan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini meneliti unjuran pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK), kedudukan fiskal kerajaan dan rangka kerja fiskal jangka sederhana untuk penyediaan Belanjawan 2024.
“Pada masa sama kerajaan akan meneruskan usaha bagi meningkatkan kecekapan perbelanjaan serta mengurangkan ketirisan dan pembaziran.
“Dalam hal ini, langkah konsolidasi fiskal akan terus dilaksanakan secara berperingkat bagi membina semula ruang fiskal disamping mengurangkan paras hutang dan liabiliti kerajaan,” kata Kementerian Kewangan dalam satu kenyataan yang dikeluarkan selepas mesyuarat FPC itu, hari ini.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata terdapat ruang untuk terus menambah baik strategi, tatakelola dan kecekapan dalam pengurusan kewangan negara.
“Ini termasuk merangka strategi dan inisiatif bagi memantapkan lagi pengurusan hasil negara untuk memastikan kemampanan penjanaan hasil,” kata Anwar dalam satu kenyataan selepas mempengerusikan mesyuarat FPC.
Anwar yang juga Menteri Kewangan menekankan bahawa dalam melaksanakan reformasi fiskal, penting untuk mengimbangi keperluan pengembangan ekonomi dan menjaga kebajikan rakyat.
“Walaupun kita terpaksa melakukan reformasi yang mungkin memedihkan untuk memperluas hasil negara dan menutup ketirisan daripada subsidi pukal, kita juga perlu cakna akan tantangan kos sara hidup yang dihadapi rakyat, lebih-lebih lagi dalam suasana ekonomi global tidak menentu.
“Pendirian saya tidak pernah berganjak dalam memastikan reformasi fiskal ini tidak sama sekali membebankan rakyat yang memerlukan, malah reformasi fiskal ini masih perlu mengambil kira perbelanjaan untuk merancakkan ekonomi dan pelaburan,” katanya.
Justeru itu kata Anwar, jujukan dan skop reformasi fiskal mesti dipertimbangkan supaya ia tidak membawa kejutan yang drastik kepada ekonomi mahu pun rakyat.
Pembentangan Rang Undang-undang Tanggungjawab Fiskal (FRA) disegerakan dan bakal dibawa ke Parlimen, bulan depan.
Akta itu mengandungi prinsip pengurusan fiskal yang kukuh dengan memberi penekanan kepada tatakelola, kebertanggungjawaban dan ketelusan dalam pengurusan kewangan awam.
FRA juga menekankan kebertanggungjawaban Menteri Kewangan kepada Parlimen dalam melaksanakan tanggungjawabnya mengubal dasar fiskal dan mengurus wang awam.
jawatankuasa itu telah meneliti unjuran pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK), kedudukan fiskal Kerajaan dan rangka kerja fiskal jangka sederhana untuk penyediaan Belanjawan 2024.
“Dengan jangkaan kelembapan ekonomi dan perdagangan global, Malaysia juga akan turut terkesan dengan pertumbuhan ekonomi negara dijangka menyederhana namun masih sejajar dengan unjuran Kerajaan sebanyak empat peratus hingga lima peratus untuk tahun ini,” katanya.
Pertumbuhan tersebut sebahagian besarnya didorong oleh permintaan dalam negeri seperti yang dicatatkan oleh pertumbuhan separuh pertama 2023 iaitu sebanyak 4.2 peratus.
Anwar juga berkata kerajaan akan terus merangkul seluruh kekuatan dan tenaga bagi memastikan dan mempercepat pelaksanaan semua langkah yang digariskan di bawah Belanjawan 2023 serta rangka kerja Ekonomi MADANI.
Beliau berkata sebagai sebuah ekonomi yang terbuka, cabaran luaran yang semakin meningkat akan menimbulkan pelbagai risiko kepada pertumbuhan ekonomi Malaysia.
Selain itu katanya, pertumbuhan yang tidak sekata merentasi wilayah seperti Amerika Syarikat dan China, ketidaktentuan pasaran kewangan berikutan dasar monetari yang ketat, ketegangan geopolitik yang berlarutan serta perubahan iklim yang tidak menentu merupakan antara cabaran terhadap prospek pertumbuhan ekonomi Malaysia.