11 SEPT : UMNO tidak melihat tindakan Ahli Parlimen Muar, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman yang keluar dari blok kerajaan semalam akan menjejaskan kedudukan Kerajaan Perpaduan.
Naib Presidennya, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata bukan semua perkara yang mahu dipinda di Dewan Rakyat itu memerlukan sokongan dua pertiga ahli dewan.
“Itu hak dia, itu saja. Bukan kita bergerak memerlukan dua pertiga, hanya kalau hendak pinda Perlembagaan tetapi kita tidak pinda Perlembagaan tiap-tiap hari.
“Kita percaya, kalau hendak pinda Perlembagaan mesti bermatlamatkan sesuatu yang baik untuk negara dan saya percaya kalau politik ini tidak toksik, kalau benda itu baik semua parti akan sokong, maka dapatlah dua pertiga,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada media merasmikan Majlis Penutup Minggu TVET DIGITAL POLYCC di Politeknik Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah (PSA) di Shah Alam, hari ini.
Semalam, Syed Saddiq mengumumkan menarik balik sokongan terhadap Kerajaan Perpaduan dan menjadi pembangkang kuasa ketiga menyebabkan kerajaan pimpinan Datuk Seri Anwar Ibrahim tidak dapat mengekalkan majoriti dua pertiga di Parlimen.
Dalam pada itu, Mohamed Khaled yang juga Menteri Pendidikan Tinggi berkata banyak perkara dalam Dewan Rakyat hanya memerlukan majoriti mudah.
“Secara khususnya, bila sampai masa nanti kita akan tengok macam mana. Bukan semua benda perlu dua pertiga.
“Ada perkara yang mungkin membabitkan ‘reform’ misalnya pengasingan kuasa antara peguam negara dan pendakwa raya, kalau ada parti sebelah sana (pembangkang) merasakan bahawa itu perlu untuk negara, kenapa tidak mereka berikan sokongan,” katanya.