11 SEPT : Sebuah pesawat penerbangan Air China dari Chengdu melakukan pendaratan cemas di Singapura selepas enjin kirinya terbakar, semalam.
Sembilan daripada 155 penumpang dilaporkan mengalami kecedaraan ringan manakala penumpang lain dan anak kapal selamat.
Menurut kenyataan Lapangan Terbang Changi, kru penerbangan CA403 dari bandar Chengdu di barat daya China itu menemui asap di ruang simpanan kargo hadapan dan tandas ketika dalam perjalanan ke Singapura.
“Pesawat itu mendarat sekitar jam 4:15 petang waktu tempatan dan semua penumpang dan anak kapal berpindah dengan selamat.
“Api di bahagian kiri enjin sudah dipadamkan,” katanya.
Dalam pada itu, Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Singapura (CAAS) melaporkan terdapat 146 penumpang dan sembilan anak kapal.
“Sembilan penumpang mengalami kecederaan ringan akibat terhidu asap dan melecet semasa proses pemindahan. Mereka sudah dirawat,” katanya.
Sebelum ini, satu video tular yang dimuatnaik di platform X menunjukkan penumpang keluar dari pesawat menggunakan gelongsor kecemasan ke landasan.
Menurut laporan CAAS, landasan itu ditutup seketika dan sebuah pesawat dilencongkan ke pulau berdekatan Batam di Indonesia.
Pada masa sama, Biro Penyiasatan Keselamatan Pengangkutan sedang menyiasat kejadian itu dan menghubungi rakan sejawatannya dari China untuk membantu.