12 SEPT : Peguam Negara (AG) yang baharu, Datuk Ahmad Terrirudin Mohd Salleh dan bekas peguam negara, Tan Sri Idrus Harun akan dipanggil Jawatankuasa Hak Asasi Manusia, Pilihan Raya dan Reformasi Institusi.
Ia susulan keputusan Jabatan Peguam Negara (AGC) menghentikan prosiding kes melibatkan 47 pertuduhan yang dikenakan terhadap Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi.
Pengerusinya, William Leong Jee Keen berkata keduanya akan dipanggil bagi memberikan penjelasan susulan keputusan melepaskan tanpa membebaskan (DNAA) Zahid daripada kesemua pertuduhan berkait Yayasan Akalbudi, baru-baru ini.
“Saya sebagai pengerusi Jawatankuasa Pilihan Khas telah keluarkan kenyataan bahawa jawatankuasa akan mengadakan prosiding dan kita akan panggil kedua-dua peguam negara untuk berikan penjelasan.
“Kenyataan media telah dikeluarkan dan kita akan bentangkan laporan selepas siasatan dibuat,” katanya di Dewan Rakyat.
Beliau berkata demikian bagi menjawab pertanyaan Datuk Seri Shahidan Kassim (PN-Arau) yang mempersoalkan tindakan Yang di-Pertua Dewan Rakyat, Tan Sri Johari Abdul menolak usul tergempar Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal (PN-Machang) untuk membahaskan isu berkenaan di Dewan Rakyat.
Jumaat lalu, Wan Ahmad Fayhsal mengemukakan usul tergempar bagi memanggil peguam negara untuk menjelaskan keputusan DNNA itu.
Pada 4 September lalu, Zahid mendapat DNAA oleh Mahkamah Tinggi bagi semua 47 pertuduhan iaitu lapan tuduhan rasuah, 12 pecah amanah dan 27 pengubahan wang haram membabitkan dana Yayasan Akalbudi.
Pihak pendakwaan memaklumkan kepada Mahkamah Tinggi mereka mahu menghentikan prosiding berkenaan.
Keputusan ini bermakna pendakwaan boleh meneruskan kes ini, atau mengemukakan kes terhadap Zahid pada bila-bila masa nanti berdasarkan fakta dan keterangan yang serupa dalam kes ini.
Zahid yang sebelum ini diperintahkan membela diri atas semua pertuduhan didakwa menggelapkan jutaan ringgit daripada yayasannya, Yayasan Akalbudi dan menerima rasuah untuk pelbagai projek sepanjang menjadi menteri dalam negeri antara 2013 dan 2018.
Hakim Datuk Collin Lawrence Sequerah dalam keputusannya berkata beberapa alasan diberikan pendakwaan termasuk terdapat keperluan menyiasat tuduhan dengan lebih lanjut dan alasan penubuhan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) bagi menyiasat kandungan buku ‘My Story: Justice in The Wilderness’ oleh bekas peguam negara, Tan Sri Tommy Thomas.
Katanya, oleh kerana siasatan masih dijalankan dan lanjutan daripada respresentasi yang dikemukakan pembelaan, adalah wajar bagi pihak pendakwaan memerlukan lebih banyak masa untuk meneliti representasi yang membabitkan pihak berkuasa mengambil kenyataan daripada beberapa individu.
Katanya lagi, walaupun penubuhan RCI tidak menyatakan garis masa dan bagaimana ia akan dilakukan, ia tidak menunjukkan bahawa kes terbabit sudah mencapai penamatnya.