12 SEPT : Ahli Parlimen Titiwangsa, Datuk Seri Johari Abdul Ghani menggesa agensi kerajaan menyemak semula projek yang telah diluluskan namun tidak memberi kesan kepada ekonomi negara.
Bekas Menteri Kewangan II itu berkata, sekiranya projek itu tidak memberi manfaat ekonomi kepada negara, kerajaan perlu menggantikannya dengan projek-projek lain yang memiliki kesan berganda.
Jelas beliau yang juga Pengerusi Backbenchers, mana-mana pelaksanaan bajet yang diluluskan mesti dilaksanakan secepat mungkin dan digunakan dengan efisien manakala bayaran mesti dibuat secara cekap dan pantas.
“Daripada situ, maka perbelanjaan swasta akan bersambung. Mengikut rekod Kementerian Kewangan, sejumlah RM43.9 bilion telah dibelanjakan setakat Jun lalu. Kita bajet (untuk dibelanjakan sebanyak) RM85 bilion dan sudah tidak ada masa.
“Jadi, kerajaan kena gunakan segala bajet yang telah lulus ini untuk pastikan perjalanan ekonomi ini menjadi pemangkin kepada kerajaan dan swasta pada masa akan datang. “Mana-mana pelaksanaan bajet yang diluluskan mestilah dilaksanakan secepat mungkin. Bayaran mestilah dibuat secara cekap dan pantas. Setiap peruntukan diluluskan mesti digunakan secara efisien dan cepat,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika membahaskan usul Kajian Separuh Penggal (KSP) Rancangan Malaysia Ke-12 (RMKe-12) di Dewan Rakyat, hari ini.
Semalam, ketika membentangkan KSP RMKe-12, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata kerajaan memberikan laluan kepada projek-projek rakyat yang lebih mendesak dalam RMKe-12 dan membatal projek-projek telah lama diluluskan termasuk projek dalam Rancangan Malaysia terdahulu.
Anwar yang juga Menteri Kewangan berkata semua projek yang dibatalkan itu adalah yang belum dapat dimulakan dalam tempoh masa munasabah.
Beliau turut memberitahu, satu Jawatankuasa Khas Pemantauan Kajian Separuh Penggal (KSP) RMKe-12 akan ditubuhkan dalam memastikan setiap anggota Kabinet memantau pelaksanaan projek RMKe-12 agar rakyat mampu mengecapi nikmatnya tanpa berlengah. OLEH : AISYAH BADRUL