3,000 maut, 10,000 lagi hilang, banjir landa Libya
13 SEPT : Kira-kira 3,000 maut manakala 10,000 lagi penduduk Libya dilaporkan hilang dalam banjir besar yang melanda pada Ahad.
Kebanyakan mangsa dari kawasan bandar pelabuhan Derna.
Ribut Daniel melanda Mediterranean pada Ahad memusnahkan bangunan dan jalan di Derna selepas mengganas di Greece minggu lalu.
Ketua Delegasi Antarabangsa Persatuan Palang Merah dan Bulan Sabit Merah (IFRC), Tamer Ramadan memberitahu menerima maklumat itu daripada sumber bebasnya.
“Daripada maklumat sumber bebas kami, adalah disahkan jumlah penduduk Libya yang hilang setakat ini sudah mencecah kira-kira 10,000,” katanya kepada pemberita melalui pautan video dari Tunisia.
Kira-kira satu perempat daripada bandar Derna di timur Libya musnah akibat banjir besar selepas empangan pecah dalam ribut sebelum ini.
Selain itu, lebih 1,000 mayat sudah ditemui setakat malam tadi, kata seorang menteri dalam pentadbiran yang mengawal timur.
Ramadan berkata jumlah kematian adalah besar dan mungkin mencecah ribuan.
IFRC akan melancarkan dana rayuan untuk pembiayaan kecemasan bagi menyokong mangsa banjir Libya.
“Cabarannya yang dihadapi adalah antara akses kepada kemudahan kesihatan asas untuk perkhidmatan kesihatan, pengurusan tempat tinggal dan tempat perlindungan, makanan dan bukan makanan,” kata Ramadan.
*Foto Facebook NBC Bay Area