13 SEPT: Tadbir urus yang baik di bawah Kerajaan Perpaduan selama 10 bulan memberi dampak baik terhadap pertumbuhan ekonomi negara.
Syed Ibrahim Syed Noh (PH-Ledang) berkata Malaysia berjaya mengembalikan semula kepercayaan pelabur luar untuk melabur di negara ini melalui komitmen dan pergerakan proaktif yang ditunjukkan kerajaan.
“Kekuatan ekonomi akan terus malar menerusi reformasi tatakelola tadbir urus yang baik di bawah Kerajaan Perpaduan. Ianya terbukti apabila negara berjaya meningkatkan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) sebanyak 4.2 peratus.
“Impak positif ini menarik kepercayaan pelabur luar yang menyaksikan peningkatan KDNK ini bukan sekadar angka yang dibuat-buat tetapi angka yang benar atas komitmen pihak kerajaan dan rakyat.
“Ketidakstabilan politik dan wabak Covid-19 menjadi cabaran besar untuk pertumbuhan ekonomi negara, namun kerajaan di bawah Kerajaan Perpaduan berjaya mengatasi tantangan ini dengan baik,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika membahaskan usul Kajian Separuh Penggal Rancangan Malaysia Ke-12 (RMKe-12) di Dewan Rakyat, hari ini.
Pada masa sama, beliau berkata pembangunan pendidikan yang berteraskan manusiawi secara holistik dengan pembangunan modal insan yang tepat turut membawa dampak kepada pengunjuran ekonomi ke hadapan.
Katanya, usaha Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam memastikan infrastruktur sekolah diperbaiki sekaligus memperkukuhkan sistem pendidikan wajar diberi penghargaan.
Sementara itu, Aminolhuda Hassan (PH-Sri Gading) berkata peruntukan kerajaan dalam menaiktaraf Lebuhraya Senai-Desaru menerusi RMKe-12 memberi kemudahan kepada rakyat khususnya di Johor.
Inisiatif kerajaan dalam menaiktaraf lebuh raya itu mampu menjimatkan masa serta mengurangkan kadar kemalangan di jalan sempit kerana mengunakan satu lorong sahaja.
“Selama ini kita menghadapi masalah sepanjang jalan Sungai Johor ke Tol Penawar hanya satu lorong sahaja. Namun apabila kerajaan mengumumkan peruntukan untuk menaiktaraf, ianya sangat kami hargai
“Melalui pelebaran naik taraf lebuh raya ini, kami sangat berterima kasih kepada perdana menteri walaupun dalam tempoh yang singkat mentadbir namun sudah ada usaha bagi menaiktaraf lebuh raya ini,” katanya.
Dalam pada itu, beliau turut menggesa ahli Parlimen blok pembangkang supaya bersikap terbuka serta menerima usaha kerajaan dalam memastikan keperluan dan kesejahteraan rakyat terjamin.
“Ketepikan hal politik, hala tuju kerajaan dalam memastikan keterjaminan makanan dan penanaman padi berada pada tahap baik harus diberi penghargaan.
“Tidak wajar setiap perkara perlu dibangkitkan, lebih-lebih lagi berkaitan kepentingan rakyat,” katanya. OLEH : AISYAH BADRUL