Kerjasama dengan DAP, UMNO akan jelaskan lagi pada akar umbi
13 SEPT : UMNO akan terus turun padang untuk menerangkan kepada akar umbi tentang kerjasama parti itu dengan DAP yang menjadi seteru politik sejak puluhan tahun lalu.
Itu antara perkara yang diputuskan dalam Mesyuarat Majlis Kerja Tertinggi (MKT), malam ini.
Ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO, Datuk Dr Mohd Puad Zarkashi berkata MKT UMNO juga kekal dengan pendirian meneruskan kerjasama dalam Kerajaan Perpaduan.
Katanya, mesyuarat itu juga menumpu kepada kesan Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Pulai dan Dewan Undangan Negeri (DUN) Simpang Jeram.
“Mesyuarat MKT UMNO malam ini banyak bincang kesan PRK Parlimen Pulai dan DUN Simpang Jeram.
“Pakatan Harapan-Barisan Nasional menang tujuh daripada 11 PDM (Pusat Daerah Mengundi) di Simpang Jeram dan 25 daripada 40 PDM di Parlimen Pulai.
“Pendirian UMNO kekal iaitu akan terus bersama dan mempertahankan Kerajaan Perpaduan. UMNO akan terus turun ke akar umbi rasional kerjasama dengan DAP seperti yang berlaku di Pulai dan Simpang Jeram,” katanya dalam hantaran di Facebook, malam ini.
Mesyuarat MKT UMNO di Menara Dato’ Onn itu dipengerusikan oleh Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.