Malaysia mampu unggul ekonomi, politik, tadbir urus
13 SEPT : Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berazam agar Malaysia memperoleh semula status yang dicapainya pada 1990-an.
Beliau mahu Malaysia menjadi sebuah negara unggul di rantau ini dari segi ekonomi, politik, tadbir urus yang baik dan tidak ketinggalan sebagai contoh masyarakat majmuk berbilang kaum.
Menurutnya, berdasarkan senario semasa dan pasukan yang ada, beliau optimis bahawa matlamat itu boleh dicapai.
“Kita harus mempercepatkan proses dan mempercepatkan reformasi yang kita janjikan kepada negara,” katanya semasa sesi khas yang bertajuk ‘Perbualan dengan Perdana Menteri Malaysia’ di Milken Institute Asia Summit 2023 di Singapura, hari ini.
Anwar yang juga Menteri Kewangan membayangkan Malaysia akan berkembang sebagai contoh masyarakat pelbagai kaum yang menghayati kemanusiaan dan belas kasihan.
Bagaimanapun katanya, ia bergantung kepada keupayaan kerajaan untuk mentadbir dengan adil dan saksama.
“Apa sahaja masalah yang perlu kita hadapi buat masa ini dengan gelombang perkauman dan ketaksuban agama, saya percaya ia hanya menunggu masa.
“Dengan keyakinan, ketekunan, dan matlamat yang jelas, kita akan dapat membawa Malaysia ke hadapan,” katanya.
Apabila ditanya mengenai ketidakstabilan politik yang membimbangkan pelabur luar, Anwar menegaskan kerajaan pimpinanya mempunyai majoriti kuat di Parlimen sekali gus menafikan tanggapan mengenai ketidakstabilan politik di negara ini.
Beliau percaya dengan dasar-dasar ekonomi yang tepat dan jelas, Malaysia boleh mencapai prestasi lebih baik berbanding 1990-an hasil komitmen kerajaan terhadap tadbir urus yang baik iaitu elemen yang sering kali tiada dalam kebanyakan negara-negara membangun.
Foto : Suhairi / Prime Minister’s Office of Malaysia