Malaysia tidak perlu memihak mana-mana kuasa besar dunia
13 SEPT : Malaysia tidak sepatutnya dipaksa untuk memilih pihak dalam pertikaian yang berlaku antara Amerika Syarikat (AS) dan China, tegas Perdana Menteri Datuk, Seri Anwar Ibrahim.
Kata beliau, sebagai sebuah negara yang berdaulat, Malaysia mahu mengekalkan hubungan rapat dengan AS dan China, sesuai dengan dasar ASEAN semasa.
“Idea ini bahawa anda perlu bersama China atau AS. Tidak, mengapa kita harus menderita dan diberitahu apa yang perlu dilakukan? Maksud saya, kita mesti sangat bebas sebagai negara merdeka,” katanya.
Beliau berkata demikian pada Sidang Kemuncak Asia Milken Institute 2023 di Singapura menerusi sesi khas bertajuk ‘Perbualan dengan Perdana Menteri Malaysia,’ hari ini.
Dalam pada itu, beliau berkata kesediaan Vietnam mengambil sikap berpihak kepada AS sama sekali tidak menimbulkan kebimbangan.
Katanya, negara ASEAN tidak akan kalah kepada Vietnam walau tidak berpihak kepada AS malah hubungan Malaysia dengan kerajaan AS menerusi pelabur dan syarikat tetap kuat.
“Saya tidak ramalkan banyak masalah. Presiden Joe Biden memilih untuk melawat Vietnam, baik untuk Vietnam selepas mereka mengalami begitu banyak penderitaan pada masa lalu. Sudah tiba masanya untuk AS memberi perhatian tambahan kepada Vietnam. Saya tidak mempunyai masalah mengenai perkara itu,” katanya.
Sebelum ini, AS dan Vietnam bersetuju untuk meningkatkan hubungan mereka kepada ‘perkongsian strategik yang menyeluruh’ setanding dengan apa yang dimiliki dengan China, Rusia, India dan Korea Selatan.
Hubungan kerjasama itu merupakan tahap diplomatik tertinggi negara Asia Tenggara.
Justeru, Anwar berharap agar AS-China mengurangkan ketegangan kerana ia memberi kesan kepada negara-negara di rantau ini serta ASEAN mempunyai peranan untuk dimainkan dengan melibatkan kedua-dua China dan AS.
Semasa Sidang Kemuncak ASEAN di Jakarta baru-baru ini, beliau berkata blok 10 negara itu meminta China dan AS untuk mengurangkan ketegangan di Laut China Selatan.
“Saya sebutkan di hadapan Perdana Menteri (China), Li Qiang tentang Laut China Selatan, beliau memberi respons yang sangat positif, memastikan untuk menghormati hak-hak negara dan berunding serta meneruskan rundingan yang berkesan.
“Dan kami juga merayu kepada Naib Presiden Amerika Syarikat (Kamala Harris) untuk cuba dan mengurangkan ketegangan ini kerana ia menjejaskan kami (ASEAN),” katanya.
*Foto : Suhairi / Prime Minister’s Office of Malaysia