13 SEPT : Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim ke Singapura hari ini untuk lawatan kerja sehari yang padat.
Beliau ditemani isterinya, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail selamat mendarat di Kompleks VIP, Lapangan Terbang Antarabangsa Changi pada 10.30 pagi tadi.
Ketibaan beliau disambut oleh Pesuruhjaya Tinggi Malaysia ke Singapura, Datuk Dr Azfar Mohamad Mustafar.
Anwar yang juga Menteri Kewangan berada di Singapura untuk menyertai dua sesi khas pada Sidang Kemuncak Asia ke-10 anjuran Asia Milken Institute.
Sesi A Conversation with the Prime Minister of Malaysia akan dikendalikan oleh ketua koresponden antarabangsa untuk Asia Tenggara Bloomberg, Haslinda Mohd Amin.
Diikuti sesi 45 minit dengan topik ‘Malaysia’s Investment Outlook: A Conversation between YAB Prime Minister and Global Investors’ yang dikendalikan Pengerusi Asia Milken Institute Robin Hu.
Badan pemikir Milken Institute yang berpangkalan di California merupakan badan bukan berasaskan keuntungan dan tidak berpihak menumpukan untuk mempercepatkan kemajuan bagi kehidupan yang bermakna.
Kementerian Luar republik itu hari ini memaklumkan Perdana Menteri Singapura, Lee Hsien Loong dan isterinya akan menjadi hos kepada Anwar dan Dr Wan Azizah pada majlis minum petang.
Lawatan pertama kali Anwar sebagai Perdana Menteri ke negara itu adalah pada Januari lepas.