13 SEPT : Inisiatif kerajaan untuk melaksanakan subsidi bersasar menerusi Rancangan Malaysia ke-12 (RMKe-12) mampu menambah baik kehidupan rakyat serta ekonomi negara.
Menteri Ekonomi, Rafizi Ramli yakin usaha itu pasti diterima baik rakyat dalam masa setahun dua pelaksanannya.
“Mengenai usaha Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar dalam melaksanakan subsidi bersasar, saya yakin beliau tidak menggali kubur sendiri.
“Pelaksanaan subsidi bersasar di bawah RMKe-12 akan menambah baik kehidupan rakyat sekali gus dapat mempertingkat ekonomi negara.
“Saya yakin, selepas melihat penambahbaikan yang dibuat kerajaan, orang ramai pasti akan menyokong idea ini. Rakyat Malaysia bijak untuk berkongsi wawasan yang sama serta Kerajaan Perpaduan akan semakin kukuh selepas setahun dua pelaksanaannya,” katanya dalam wawancara bersama Malaysiakini.
Sehubungan itu, bagi memastikan kejayaan rancangan itu, Rafizi berkata, keputusan sukar mesti dibuat sekarang termasuk mereformasikan sistem subsidi yang gagal dilaksanakan oleh kerajaan-kerajaan sebelum ini.
Dalam pada itu, Rafizi yang juga Ahli Parlimen Pandan menafikan RMKe-12 menyamai kerangka ekonomi kerajaan sebelum ini terutamanya ketika pentadbiran Tun Abdullah Ahmad Badawi dan Datuk Seri Najib Razak.
Memberi contoh kegagalan Program Transformasi Kerajaan dan Program Transformasi Ekonomi, beliau berkata terdapat perbezaan besar antara rancangan itu dengan RMKe-12.
“RMKe-12 tidak menggunakan perunding luar sebaliknya 100 peratus menggunakan kepakaran sektor awam,” katanya.
Pada masa sama, Rafizi tidak menafikan keputusan kerajaan untuk melaksanakan subsidi bersasar mungkin memberi kesan secara politik.
“Jika kita gagal mencapai perkara ini dalam lima tahun, kita harus mula laksanakan banyak reformasi teras secepat mungkin untuk memberikan masa kepada keputusan fiskal dan kewangan bagi manfaat negara ini.
“Dengan melaksanakannya, isi rumah akan mula faham bahawa langkah ini lebih baik dan satu-satunya cara untuk meminumkan dan mengurangkan risiko politik
“Jadi selagi kita menjaga keseimbangan antara masa, turutan dan memberi kita masa yang cukup untuk melaksanakannya, saya rasa ia akan berjaya,” katanya.
Menukar subsidi pukal kepada subsidi bersasar merupakan antara 17 anjakan besar yang diketengahkan dalam kajian separuh penggal RMKe-12 bagi memastikan pembangunan sosioekonomi sehingga 2025.
Penjimatan daripada langkah subsidi bersasar itu akan digunakan untuk mendanai projek dan program sosioekonomi bagi manfaat rakyat.