14 SEPT : Persatuan Pembaharuan Demokratik (ADR) mengeluarkan laporan sebanyak 306 daripada 763 ahli Parlimen India sedang berdepan kes jenayah.
Menurut laporan itu, mereka yang menghadapi kes serius seperti bunuh, cubaan membunuh, culik atau jenayah terhadap wanita adalah 25 peratus daripada jumlah ahli kedua-dua dewan Parlimen.
Laporan itu turut mendedahkan 194 ahli Parlimen yang bersidang mengisytiharkan kes jenayah serius pada afidavit bersumpah mereka.
ADR menjalankan analisis itu dengan mengkaji afidavit yang dikemukakan oleh ahli Parlimen sebelum menyertai pilihan raya terakhir mereka dan sebarang pilihan raya kecil berikutnya.
“Daripada 763 ahli Parlimen yang bersidang, 306 ahli sudah memaklumkan tentang kes jenayah yang dikemukakan terhadap mereka.
“Di Lakshadweep, kesemua ahli Parlimen mempunyai kes jenayah serius yang diisytiharkan pada afidavit mereka,” kata ADR.
Analisis status kewangan yang dijalankan badan pemantau itu mendapati purata ahli Parlimen mengisytiharkan aset bernilai AS$4.6 juta (RM21.53 juta) serta tujuh peratus penggubal undang-undang India adalah bilionair.
Penemuan itu berkaitan dengan sejumlah 776 kerusi di Lok Sabha dan Rajya Sabha di seluruh negara.