14 SEPT : Peguam Negara (AG) yang baharu, Datuk Ahmad Terrirudin Mohd Salleh dan bekas peguam negara, Tan Sri Idrus Harun hanya diundang menyertai prosiding Jawatankuasa Pilihan Khas Hak Asasi Manusia, Pilihan Raya dan Reformasi Institusi (JKPK).
Pengerusi JKPK, William Leong Jee Keen berkata pihaknya tidak pernah mengarahkan dua individu itu untuk menghadiri prosiding jawatankuasa tersebut.
Katanya, prosiding JKPK adalah bagi menjelaskan beberapa isu berhubung percanggahan kuasa terutama membabitkan kes berprofil tinggi.
“Undangan kepada mereka adalah untuk membantu JKPK memahami beberapa isu berhubung kekhuatiran terhadap percanggahan kuasa dan kepentingan yang timbul, terutama berkaitan kes berprofil tinggi.
“Ini kerana, peguam negara adalah penasihat undang-undang utama kerajaan yang juga pendakwa raya seperti digariskan mengikut Perkara 145 Perlembagaan Persekutuan dan Seksyen 376 Kanun Acara Jenayah.
“Ia khususnya berkaitan dengan implikasi dan cadangan terhadap pemisahan kedua-dua peranan dan tugas berkenaan,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Semalam, JKPK dilaporkan akan memanggil Ahmad Terrirudin dan Idrus Harun susulan keputusan Jabatan Peguam Negara (AGC) menghentikan prosiding kes melibatkan 47 pertuduhan yang dikenakan terhadap Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi.
Dalam pada itu, William yang juga Ahli Parlimen Selayang berkata JKPK menghormati kuasa peguam negara dalam menjalankan budi bicaranya untuk memulakan, menjalankan atau menghentikan sebarang prosiding mahkamah selaras Perkara 145 (3) Perlembagaan Persekutuan.
Katanya, pihaknya turut menghargai penubuhan dua pasukan petugas khas bagi meneliti dan mengkaji cadangan untuk memisahkan pendakwa raya daripada AGC.
Beliau turut mengakui JKPK yang diwakili ahli Parlimen daripada blok kerajaan dan pembangkang mampu menyumbang secara konstruktif terhadap cadangan berkenaan.
“Inisiatif untuk turut membabitkan ahli Parlimen dalam pasukan berkenaan juga akan secara tidak langsung menandakan perkembangan sihat terhadap demokrasi berparlimen di Malaysia, terutama berkaitan isu reformasi institusi.
“JKPK juga akan turut menjemput beberapa pertubuhan bukan kerajaan dan lain-lain untuk menghadiri mesyuarat jawatankuasa ini.
“Pada masa sama, jemaah menteri sudah bersetuju untuk merujuk skop dasar bagi Rang Undang-Undang (RUU) Sumbangan Politik kepada JKPK.
“Sehubungan itu, JKPK akan meneliti dan mengkaji cadangan Akta Pembiayaan Politik bagi terus memastikan institusi demokrasi di Malaysia bebas daripada kegiatan tidak sihat dan tidak berdemokrasi,” katanya.