14 SEPT : Angka kematian akibat banjir besar yang melanda timur Libya meningkat kepada 5,500 orang manakala 7,000 lagi dilaporkan cedera, lapor Xinhua memetik seorang pegawai tempatan.
Jurucakap perkhidmatan kecemasan yang berpangkalan di Tripoli, Osama Ali berkata jumlah sebenar kematian penduduk belum dapat ditentukan kerana masih ada lagi mayat ditemui dari kawasan terjejas.
Beliau berkata, kira-kira 10,000 mangsa telah dilaporkan hilang manakala 30,000 lagi hilang tempat tinggal akibat banjir.
Katanya, kawasan terjejas banjir kini berdepan kekurangan bekalan asas yang teruk.
Pada Ahad, ribut Daniel melanda timur Libya hingga mencetuskan banjir dan menyebabkan kerosakan besar kepada infrastruktur di sepanjang laluannya.
Dua empangan dan empat jambatan runtuh di Derna menenggelamkan sebahagian besar bandar itu.
Media-media tempatan melaporkan kisah-kisah mengerikan tentang orang dihanyutkan ke laut manakala ada mangsa yang lain berpaut di atas bumbung untuk terus hidup.
Tentera laut dan penyelam dikerah untuk mencari mayat di laut.
Bandar Soussa, Al-Marj dan Misrata turut terjejas akibat ribut tersebut.