14 SEPT : Calon Barisan Nasional (BN) bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Pelangai akan diumumkan pada 20 September ini.
Pengerusi BN Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail berkata calon itu akan ditentukan selepas perbincangan hari ini.
“Kita akan tentukan selepas perbincangan bersama rakan-rakan hari ini (Khamis).
“Untuk jentera parti, semuanya telah lama bersiap sedia, pada masa sama jentera pun bersemangat dan kursus pun sudah dibuat di Janda Baik, baru-baru ini,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas Majlis Pelancaran Bantuan Prihatin Pahang (BPP) 2022 Kluster Penjaja, Food Rider, Pemandu Teksi dan MyLesen Prihatin di Dewan Orang Ramai Agropolitan Felda Chemomoi di Bentong, hari ini.
Mengulas soal kenyataan DAP yang akan membantu UMNO di Pelangai, Wan Rosdy yang juga Naib Presiden UMNO menghargai komitmen itu.
Sebelum ini, Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke Siew Fook berkata partinya akan menggerakkan jenteranya membantu UMNO susulan jentera BN sudah bekerja keras membantu memenangkan calon Pakatan Harapan (PH) dalam PRK Parlimen Pulai dan DUN Simpang Jeram pada 9 September lalu.
PRK DUN Pelangai bakal diadakan 7 Oktober depan berikutan kematian penyandangnya, Datuk Seri Johari Harun pada 17 Ogos lalu dalam nahas pesawat di Bandar Elmina, Shah Alam.
Pada PRU15, Johari memenangi kerusi DUN Pelangai dengan majoriti 4,048 undi menewaskan calon Perikatan Nasional (PN), Kasim Samat yang mendapat 3,260 undi.
Allahyarham memperoleh 7,308 undi manakala dua lagi calon iaitu Ahmed Wafiuddin Shamsuri daripada PH (2,031) dan Isa Ahmad daripada Pejuang (65 undi).