14 SEPT: Kerajaan diseru memberi tumpuan kepada pembangunan di Sabah yang masih mempunyai jurang yang jauh berbanding negeri-negeri lain.
Datuk Seri Mohd Shafie Apdal (Warisan-Semporna) berkata, Sabah akan terus terkebelakang sekiranya kerajaan lebih memberi tumpuan terhadap negeri-negeri yang sudah membangun seperti Pulau Pinang dan Selangor.
“Saya bimbang berkenaan pembangunan wilayah di negara ini yang saya kira tidak seimbang yang amat ketara.
“Selepas mendengar pembentangan Rancangan Malaysia Ke-12 (RMKe-12) oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, saya bimbang banyak kawasan yang sudah maju lebih diberi tumpuan. Contohnya di Pulau Pinang yang sudah ada dua jambatan besar, terowong bawah tanah dan jeti yang baik.
“Kita sudah sedia tahu, wilayah-wilayah ini sudah membangun namun wilayah yang miskin di Malaysia masih banyak, jadi wilayah yang terpinggir pelu ada di dalam perancangan-perancangan penting di negara kita.
“Jika tidak mempunyai keseimbangan, bayangkan di Sabah dicatatakan sebagai daerah termiskin bagaimana kita hendak memastikan kemiskinan dapat dibasmi,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika membahaskan usul Kajian Separuh Penggal (KSP) RMKe-12 di Dewan Rakyat, hari ini.
Dalam perbahasannya, Shafie yang juga Presiden Warisan turut mencadangkan kepada kerajaan supaya mengadakan kerjasama dengan sektor swasta dalam membawa ekonomi negara ke jalan pemulihan yang mantap, lestari dan inklusif.
“Kita perlu mengurangkan penglibatan dalam pasaran dan membiarkan sektor swasta memainkan peranan yang besar sekali gus dapat menyumbang kepada kelestarian ekonomi negara.
“Saya yakin banyak pihak swasta yang mempunyai pengalaman yang baik di peringkat antarabangsa,” katanya. OLEH : AISYAH BADRUL