Sambutan Hari Malaysia disiar secara langsung
14 SEPT : Orang ramai boleh menonton secara langsung sambutan Hari Malaysia peringkat kebangsaan yang akan diadakan di Stadium Perpaduan di Kuching, Sabtu ini.
Menteri Komunikasi dan Digital Fahmi Fadzil berkata sambutan itu boleh ditonton melalui semua saluran televisyen serta media sosial arus perdana.
Selain itu, skrin LED juga akan disediakan di luar stadium untuk tontonan warga Kuching yang mahu mengikuti sambutan itu.
“Bagi para jemputan boleh masuk stadium mulai pukul 7 malam manakala Pemangku Yang Dipertua Negeri Sarawak, Tan Sri Mohamad Asfia Awang Nassar dijangka tiba pada 8.30 malam.
“Untuk makluman, kemuncak sambutan itu adalah persembahan bunga api,” katanya selepas mengadakan kunjungan hormat ke atas Mohamad Asfia di Astana Negeri di Kuching, hari ini.
Fahmi menjemput orang ramai hadir untuk memeriahkan acara di mana terdapat juga Jualan Rahmah yang bermula esok sehingga Sabtu.
Sementara itu Menteri Utiliti dan Telekomunikasi Sarawak Julaihi Narawi yang juga menteri bertanggungjawab bagi sambutan itu berkata raptai penuh sambutan itu akan diadakan pada malam ini bagi memastikan kelancaran program.
“Persiapan serta persediaan sambutan kini sudah di peringkat akhir, kami berdua sendiri (Julaihi dan Fahmi) serta ahli jawantankuasa induk akan hadir menyaksikan raptai penuh malam ini,” katanya.
*Foto : Facebook Fahmi Fadzil