UMNO nafi mahu bergerak solo
14 SEPT : UMNO menafikan isu mahu bergerak solo dibincangkan dalam mesyuarat Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, malam tadi.
Setiausaha Agung UMNO, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki berkata MKT UMNO kekal dengan keputusan parti sebelum ini untuk bersama Kerajaan Perpaduan menerajui pentadbiran negara.
Keputusan itu sekali gus menolak dakwaan UMNO mahu bergerak solo dalam pentadbiran negara.
“Tidak timbul (bergerak solo) kerana keputusan menyertai Kerajaan Perpaduan sudah pun dibuat 23 November (2022).
“Itu keputusan parti dibuat oleh Majlis Kerja Tertinggi…yang diabsahkan dalam Perhimpunan Agung UMNO berkenaan dengan keberadaan kita dalam Kerajaan Perpaduan,” katanya pada sidang media selepas mesyuarat MKT UMNO di Menara Dato’ Onn, malam tadi.
Beliau juga memaklumkan mesyuarat itu tidak membincangkan soal pemecatan sama ada melibatkan Ahli MKT, Isham Jalil mahu pun Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Rembia, Datuk Muhammad Jailani Khamis seperti yang digembar-gemburkan.
Terdahulu, Isham mendakwa ada beberapa ahli UMNO akan dipecat dalam mesyuarat berkenaan termasuk dirinya kerna kelantangan mereka mengkritik pimpinan UMNO.
Sementara Jailani dijangka bakal berdepan tindakan kerana menghadiri majlis pengumuman calon Perikatan Nasional (PN) bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Pulai dan Dewan Undangan Negeri (DUN) Simpang Jeram di Bakri, Johor, baru-baru ini.
Mengulas lanjut, Asyraf berkata, mesyuarat itu juga membincangkan langkah memperkukuh hubungan kerjasama UMNO dengan parti komponen dalam PH di semua peringkat termasuk di negeri dan bahagian.
Selain itu, mesyuarat tersebut meminta seluruh pimpinan UMNO yang menganggotai pentadbiran negara terutama menteri-menteri dan timbalan-timbalan menteri termasuk juga pengerusi-pengerusi agensi dan syarikat-syarikat milik kerajaan supaya memperteguhkan usaha dengan memfokuskan agenda mensejahterakan rakyat yang sedang bergelut dengan kos sara hidup yang kian meningkat.
Foto : Facebook UMNO Online