Agong berkenan baca surat rakyat Sabah, Sarawak
15 SEPT : Yang di-Pertuan Agong,Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah berkenan membaca setiap surat dan petisyen yang dipersembahkan rakyat Sabah dan Sarawak sepanjang Kembara Kenali Borneo.
Melalui hantaran di Facebook Istana Negara, dimaklumkan baginda akan menyerahkan setiap surat dan petisyen berkenaan kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
“Baginda berkenan membaca setiap surat dan petisyen yang dipersembahkan oleh rakyat negeri Sabah dan Sarawak kepada baginda sepanjang pengembaraan Kembara Kenali Borneo selama 11 hari yang berakhir semalam.
“Seri Paduka Baginda akan menyerahkan setiap surat dan petisyen kepada perdana menteri.
“Baginda menzahirkan ucapan terima kasih kepada seluruh rakyat di Sabah dan Sarawak yang sudi berkongsi kisah suka dan duka serta pelbagai masalah menerusi surat dan petisyen tersebut.
Dalam perkongsian sembilan keping gambar tersebut, kelihatan surat-surat bertaip dan bertulis tangan serta kad-kad ucapan.
Kembara Kenali Borneo yang julung kali diadakan bermula pada 3 September dan berakhir 13 September lalu itu bagi merealisasikan impian Seri Paduka berdua mendekati rakyat di Sabah dan Sarawak.
Kembara Kenali Borneo bermula dari Tawau, Sabah itu berakhir di Telok Melano di selatan Sarawak melibatkan perjalanan jarak sejauh 2,154 km menelusuri Lebuhraya Pan Borneo yang menghubungkan Sabah, Sarawak serta Brunei.