15 SEPT : Polis membebaskan Ahli Jawatankuasa Penerangan Bersatu, Badrul Hisham Shaharin atau lebih dikenali sebagai Chegubard selepas selesai memberi keteranga, pagi ini.
Pemuda Perikatan Nasional (PN), Ahmad Fadhli Shaari memaklumkan Chegubard dibebaskan polis jam 2.15 pagi.
“Alhamdulillah Cikgubard dibebaskan pagi ini jam 2.15 selepas diambil keterangan,” katanya menerusi hantaran di Facebooknya, hari ini.
Semalam, media melaporkan polis menahan Chegubard di Kuala Lumpur, kira-kira jam 8 malam.
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Datuk Seri Mohd Shuhaily Mohd Zain berkata aktivis itu ditahan kerana enggan hadir ke balai bagi membantu siasatan untuk enam kes berasingan
.Mohd Shuhaily berkata enam kes berasingan yang dirujuk kepada polis itu adalah berdasarkan laporan yang dibuat terhadap siaran TikTok Badrul Hisham yang didakwa mengandungi kenyataan yang membawa kepada kerosakan awam dan unsur hasutan.
Antara laporan tersebut menyatakan Badrul Hisham mempersoalkan dakwaan “double standard” kerajaan dalam menangani isu berkaitan kaum, agama dan raja-raja Melayu.
Polis sudah memanggil Badrul Hisham beberapa kali selain mengeluarkan notis mengikut Seksyen 111 Kanun Prosedur Jenayah.
“Beliau terima notis tersebut tetapi menyatakan keengganan untuk hadir.
“Justeru pihak saya tak ada pilihan lain selain keluarkan waran tangkap,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Dang Wangi, malam tadi
Namun, polis menegaskan penangkapan aktivis pembangkang itu tidak mempunyai kaitan dengan himpunan Selamatkan Malaysia yang dijadual pada Sabtu ini.
Sebelum ini, Chegu Bard memaklumkan, himpunan berkenaan yang akan diadakan pada 16 September akan diteruskan meskipun mendapat reaksi pelbagai pihak.
Bagaimanapun, Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail menyifatkan penganjur himpunan tersebut sebagai tidak menghormati Hari Malaysia.