15 SEPT : Orang ramai diminta agar mengemukakan maklumat lengkap dan terperinci berkait isu kenaikan harga barang termasuk beras bukan hanya menularkan gambar atau video semata-mata.
Pemangku Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Datuk Armizan Ali berkata maklumat itu penting supaya tindakan lanjut dapat diambil.
“Kalau setakat tular gambar dan video tetapi tiada maklumat, mungkin dalam tempoh kita (pihak kementerian) mencari maklumat, pihak yang melakukan kesalahan akan bertindak menyembunyikan (kesalahan).
“Saya harapkan kita dapat kerjasama daripada masyarakat. Lebih banyak aduan, lebih kita suka kerana inilah fungsi dan tanggungjawab KPDN,” katanya.
Setakat ini kata Armizan, KPDN menerima 142 aduan berkait kenaikan harga beras di seluruh negara menerusi Op Jamin yang dilancarkan, Julai lepas.
Kata Armizan, sejak Julai sebanyak 295 pemeriksaan sudah dilakukan di Sabah ke atas premis perniagaan sebagai usaha memastikan tidak ada pihak mengambil kesempatan menaikkan harga beras hingga membebankan pengguna.
Menurutnya, kementerian juga telah menubuhkan Unit Risikan Perniagaan berkuat kuasa pada 1 September lalu yang antara lain untuk bertindak terhadap aduan yang berkaitan.
Unit itu juga melakukan risikan awal bagi mengekang isu kartel dalam rantaian bekalan.