15 SEPT : Hari Malaysia perlu diraikan dan dihormati bukan untuk membuat kacau dengan berhimpun, kata Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain.
Sehubungan itu, beliau menyarankan orang ramai yang ingin menyertai Himpunan Aman Selamatkan Malaysia pada 16 September ini supaya membatalkan hasrat mereka kerana tindakan itu akan mengganggu ketenteraman awam.
“Tindakan itu akan menyusahkan pergerakan orang ramai terutamanya peniaga dan pekerja di kawasan sekitar lokasi perhimpunan berlangsung.
“Ia juga akan menyebabkan aliran lalu lintas terganggu hingga menyukarkan pergerakan orang awam pada cuti hujung minggu,” katanya, lapor BH.
Razaruddin turut menegaskan pihak polis akan sentiasa menjaga keamanan dan ketenteraman awam sebaik mungkin bagi mengelak sebarang situasi yang mengganggu ketenteraman awam dan keharmonian masyarakat.
Dalam pada itu, beliau turut memaklumkan sebanyak 22 laporan sudah dibuat oleh orang ramai yang meminta pihak polis menghalang penganjuran perhimpunan itu daripada diteruskan.
Katanya, polis akan menjalankan siasatan dan mengambil tindakan terhadap sebarang perkara yang didapati melanggar undang-undang dan Perlembagaan negara.
“Kalau kita perhalusi, penganjur sendiri gagal mematuhi syarat dengan tidak mengemukakan nama dan lokasi sebenar perhimpunan mereka dalam tempoh lima hari menghantar notis pemakluman kepada Ketua Polis Daerah Dang Wangi, seperti yang termaktub dalam Seksyen 10 Akta Perhimpunan Aman (Apa 2012),” katanya.