5,000 banjiri Stadium Perpaduan sambut Hari Malaysia
16 SEPT : Lebih 5,000 rakyat pelbagai kaum dan agama membanjiri Stadium Perpaduan, Kuching seawal jam 5 petang tadi bagi menyemarakkan sambutan Hari Malaysia 2023, hari ini.
Keadaan lalu lintas yang sesak menghala ke Kompleks Sukan Sarawak tidak menghalang orang ramai memeriahkan majlis itu.
Hari Malaysia tahun ini cukup bersejarah kerana ia diraikan untuk kali ke-60 selepas pembentukan sebuah negara hasil gabungan Tanah Melayu, Sarawak dan Sabah pada 16 September 1963.
Sambutan dengan tema ‘Tekad Perpaduan Penuhi Harapan’ bermula pada 7.45 malam dengan ketibaan barisan Menteri Kabinet Persekutuan dan Sarawak.
Cogan kata perpaduan untuk seluruh negara diambil dari frasa bahasa Iban di Sarawak ‘Segulai Sejalai’ yang bermaksud seiring sejalan.
Dua timbalan perdana menteri serta pasangan masing-masing pula tiba pada jam 8.05 malam diikuti ketibaan Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor dan isteri, Datin Seri Juliah Salang pada jam 8.10 malam.
Pada jam 8.15 malam pula, Premier Sarawak, Tan Sri Abang Johari Abang Openg dan isteri, Puan SriJuma’ani Tuanku Bujang pula tiba disusuli ketibaan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan isteri Datin Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail.
Pemangku Yang Dipertua Negeri Sarawak, Tan Sri Mohd Asfia Awang Nasar Puan Sri Fatimah Mohd Iskandar tiba jam 8.30 malam.
Selepas nyanyian Lagu Negaraku dan Ibu Pertiwiku persembahan Selamat Datang, bacaan doa serta tayangan video ucapan.
Selepas itu, Mohd Asfia menandatangani buku khas Hari Malaysia disusuli tayangan video Khas Konvoi Kembara Merdeka 2023 dan perarakan masuk konvoi Kembara Merdeka Jalur Gemilang dan upacara menaikkan Jalur Gemilang.
Sambutan diteruskan dengan persembahan khas hiburan dan kebudayaan serta pertunjukan bunga api sebelum Mohd Asfia dan isteri meninggalkan majlis pada jam 10.30 malam.
*Foto : Facebook Utusan Sarawak