16 SEPT : Presiden Amanah, Datuk Seri Mohamad Sabu menyeru ahlinya membudayakan politik matang, berintegriti serta berhujah bersandarkan fakta juga kebenaran sempena ulang tahun kelapan penubuhan parti itu, hari ini.
Beliau turut mengingatkan ahli parti itu supaya menjauhi amalan takfiri, melabel dan mengkeji sesama serta mempamerkan akhlak yang baik.
“Saya ingin mengingatkan diri saya dan semua ahli agar sentiasa menjaga dan mempamerkan akhlak mulia seperti diajar Rasulullah.
“Ingatlah, kebenaran akan sentiasa berpihak pada pihak yang benar,” kata beliau menerusi hantaran Facebooknya, hari ini.
Dalam pada itu, Mohamad berkata perjuangan untuk memposisikan parti itu sebagai wadah politik Islam progresif bersifat inklusif serta peduli dengan keluh-kesah rakyat belum selesai walaupun banyak ujian dan dugaan ditempuh sejak pertubuhan parti itu.
Katanya, banyak lagi usaha perlu dibuat untuk mencapai matlamat itu.
“Dahulu ada yang kata Amanah ini hanya parti nyamuk, yang riwayatnya takkan lebih dua tahun. Alhamdulillah hari ini, 16 September 2023 kita semua bersyukur dan berbangga untuk menyambut ulang tahun kelapan penubuhan Amanah.
“Semangat kita semua tak pernah luntur. Dari setahun ke setahun kita terus istiqamah untuk memartabatkan Islam sebagai agama yang membawa rahmat untuk semua,” katanya.
Parti Amanah ditubuhkan pada 16 September 2015 oleh beberapa pemimpin PAS yang tidak berpuas hati dengan hala tuju parti Islam itu, terutama selepas ia memutuskan untuk meninggalkan gabungan pembangkang Pakatan Rakyat ketika itu.
Parti yang dilabel ‘serpihan PAS’ itu kemudian bekerjasama dengan PKR dan DAP untuk membentuk gabungan Pakatan Harapan.