16 SEPT : Rakyat Malaysia digesa untuk menghayati semangat Hari Malaysia tahun ini dengan rasa cinta yang mendalam terhadap negara.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menerusi hantaran Facebooknya berkata seluruh rakyat perlu berani menolak sikap prasangka dan memupuk persefahaman serta kasih sayang yang menjadi tonggak kekuatan negara ini.
“Selamat Hari Malaysia kepada seluruh anak bangsa!
“Menggesa semua untuk semangati hari besar ini dengan rasa cinta yang mendalam terhadap negara, sikap ihsan dan kasih sayang sesama warga dan perteguh perpaduan antara kaum.
“Saya yakin negara ini kuat dan mampu melonjak ke depan sekiranya kita berani menolak sikap prasangka dan memupuk persefahaman dan kasih sayang.
“Selamat Hari Malaysia kepada seluruh anak bangsa! Segulai sejalai,” katanya.
Hari Malaysia tahun ini disambut dengan tema sama dengan Hari Kebangsaan 2023 iaitu ‘Malaysia MADANI: Tekad Perpaduan Penuhi Harapan’.
Manakala cogan kata perpaduan untuk seluruh negara pula diambil dari frasa bahasa Iban di Sarawak ‘Segulai Sejalai’ yang bermaksud seiring sejalan.
Sambutan Hari Malaysia peringkat kebangsaan kali ini diadakan di Stadium Perpaduan, Kuching, Sarawak malam ini.