16 SEPT : Sepasukan anggota Polis Diraja Malaysia (PDRM) membuat halangan ‘human barricades’ di Jalan Dang Wangi berhadapan kompleks beli belah Sogo di ibu negara, hari ini.
Halangan yang dilakukan kira-kira 50 pegawai dan anggota polis itu bertujuan menghalang peserta- peserta Himpunan Aman Selamatkan Malaysia yang berjalan menuju ke Ibu Pejabat Polis (IPD) Daerah Dang Wangi.
Kira-kira lebih 1,000 orang peserta himpunan itu menyertai perarakan dan berjalan kaki dari Masjid Jamek Kampung Baru sejauh hampir 2 kilometer ke Kompleks Sogo.
Mereka mula berarak ke Kompleks Sogo pada jam 1.50 petang selepas Ahli Dewan Tertinggi Muafakat Nasional (MN), Datuk Tun Faisal Ismail Aziz memaklumkan beliau akan berjalan kaki ke IPD Dang Wangi bersama Sekretariat Himpunan Aman Selamatkan Malaysia.
Tun Faisal membuat satu laporan polis di IPD bersama ahli politik lain termasuk Ketua Penerangan Bersatu, Datuk Razali Idris dan Ketua Penerangan Pejuang, Muhammad Rafique Rashid Ali.
Sebelum ini, peserta Himpunan Aman Selamatkan Malaysia mula berkumpul di pekarangan Masjid Jamek Kampung Baru kira-kira jam 12.30 tengah hari tadi.