Strategi pasca Covid-19, negeri lain wajar contohi Sarawak
16 SEPT : Negeri lain wajar mencontohi Sarawak susulan kejayaan Strategi Pembangunan Pasca Covid-19 2030 (PCDS 2030) yang sedang dijayakan itu.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata strategi itu mensasarkan Sarawak sebagai sebuah negeri berpendapatan tinggi dan memberi tumpuan kepada kelestarian alam sekitar serta keterangkuman sosial.
“Kami dimaklumkan mengenai KDNK (Keluaran Dalam Negeri Kasar) Negeri Sarawak telah tumbuh 20 kali ganda pada tahun 2022 ketimbang 60 tahun yang lalu.
“Saya berkongsi pandangan bahawa anjakan besar yang dilaksanakan ini wajar dijadikan contoh buat negeri-negeri yang lain.
“Justeru, saya yakin bahawa melalui kerjasama rapat, kebersamaan dan komitmen semua, khususnya daripada Kerajaan Persekutuan, akan berupaya menjayakan usaha ini,” katanya menerusi hantaran di Facebook, malam ini.
Siang tadi, Anwar mendengar taklimat mengenai pembangunan Sarawak disampaikan Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Dr Abang Johari Tun Openg.
Turut hadir taklimat itu, Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dan Datuk Seri Fadillah Yusof serta jemaah menteri Kabinet Kerajaan Perpaduan.
Anwar kemudiannya mempengerusikan Mesyuarat Jemaah Menteri buat pertama kalinya di Sarawak sebagai ruang serta platform diskusi isu-isu negara yang terkait dengan kementerian masing-masing.
PCDS 2030 menetap sasaran kepada komuniti di Sarawak untuk menikmati pembangunan yang pesat dalam tempoh 18 tahun akan datang, dengan penduduknya menikmati kemakmuran ekonomi yang dipacu oleh data dan inovasi.
Abang Johari ketika melancarkan PCDS 2023 tahun lalu berkata di bawah Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK12) Sarawak memperuntukkan RM63 bilion untuk melaksanakan inisiatif berjiwa rakyat itu di bawah fasa pertama PCDS 2030.