17 SEPT : Strategi perdagangan dan pelaburan antara ASEAN dan China perlu dipelbagaikan bagi membolehkan rantau itu mengekalkan momentumnya sebagai salah satu yang terpantas dari segi pertumbuhan di dunia.
Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, ASEAN kini terus mengekalkan kedudukannya sebagai destinasi pilihan pelaburan antarabangsa, dengan mencatatkan pertumbuhan ekonomi 5.5 peratus pada 2022, dan diunjurkan 4.4 peratus pada 2023.
“Dalam menghadapi cabaran pasca-pandemik, ketegangan geopolitik, dan pelbagai lagi faktor ketidakstabilan yang lain, tanggungjawab dan usaha bersama kita perlu ditumpukan kepada keamanan serantau, kestabilan, kemakmuran, serta menyuburkan hubungan perdagangan dua hala dan pelbagai hala,” katanya lagi.
Perdana Menteri berkata demikian ketika menyampaikan ucaptama sempena pembukaan China–ASEAN Expo ke-20 (CAEXPO 2023) di Nanning, hari ini.
Anwar yang dalam lawatan seharinya ke China, turut dijadual mengadakan pertemuan dengan rakan sejawatnya, Li Qiang.
Kedua-dua pemimpin itu akan membincangkan hubungan dua hala Malaysia-China selain bertukar-tukar pandangan mengenai isu serantau serta antarabangsa yang mempunyai kepentingan bersama sebelum menghadiri jamuan makan tengah hari yang dihoskan oleh Li.
Dalam ucapannya, Anwar berkata, Rangka Kerja Pemulihan Ekonomi ASEAN telah menggariskan kepentingan tentang kesalinghubungan rantaian bekalan yang lancar, serta pemudahcaraan pergerakan barangan dan perkhidmatan dengan menghapuskan penghalang perdagangan.
“Dengan infrastruktur yang teguh, saya yakin akan ada aktiviti penyambungan aktiviti perdagangan yang lancar, yang bakal menyumbang kepada pemulihan ekonomi serantau.
“Pemulihan ini jauh lebih kritikal untuk perusahaan mikro, kecil dan sederhana (MSME) yang penting kepada pembangunan ekonomi dan pertumbuhan yang lebih meluas untuk negara ASEAN. MSME ini menyumbang 85 peratus pekerjaan, 44.8 peratus Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK), dan 18 peratus eksport negara di ASEAN,” katanya lagi.
Justeru, Anwar berkata, peranan MSME dalam memberi sumbangan kepada aktiviti nilai tambah, inovasi, dan pertumbuhan inklusif, tidak seharusnya dipandang ringan.
“Dalam memperkasa MSME dalam dunia digital, saya menyeru kedua-dua ASEAN dan China untuk melipatganda kerjasama mereka dalam ekonomi digital,” katanya lagi.