17 SEPT : Kerajaan telah meluluskan peruntukan kecemasan untuk melaksanakan kerja akibat tanah runtuh yang menjejaskan penduduk hingga hampir terputus bekalan makanan di Nabawan sejak awal bulan ini.
Ahli Parlimen Pensiangan, Datuk Arthur Joseph Kurup berkata, kerja-kerja penyelenggaraan jalan raya dan pembinaan jambatan berkenaan akan dilaksanakan tidak lama lagi selepas beliau mengemukakan laporan mengenai kejadian itu pada 14 September lalu.
Katanya, laporan itu merangkumi kerosakan yng berlaku akibat bencana alam terbabit dan anggaran kos pembaikan yang diperlukan bagi memastikan laluan perhubungan penduduk dapat dipulihkan segera.
“Setelah Pejabat Daerah Nabawan siap mengumpulkan laporan kerosakan akibat bencana alam itu, saya dengan segera berjumpa dengan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim pada 14 September lalu bagi membentangkan laporan merangkumi kerosakan dan anggaran kos pembaikan diperlukan.
“Hasil daripada pertemuan itu serta keprihatinan Perdana Menteri, beliau bersetuju untuk meluluskan peruntukan kecemasan bagi pelaksanaan kerja-kerja penyelenggaraan jalan dan membina baharu jambatan yang putus,” katanya dalam kenyataan.
Media semalam melaporkan kira-kira 300 penduduk Kampung Salinatan di Pensiangan, Nabawan hampir terputus bekalan makanan disebabkan laluan perhubungan yang terputus akibat tanah runtuh yang berlaku pada 5 September lalu.
Nasib penduduk terbabit mendapat perhatian badan bukan kerajaan (NGO) Forces Of Love (FOL) yang mengambil inisiatif menghantar bekalan makanan melalui sungai selepas menerima laporan mengenai keadaan penduduk.
Arthur yang juga Timbalan Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, berkata beliau sendiri menerima aduan mengenai bencana alam itu daripada penduduk Kampung Salinatan, Pensiangan pada 5 September lalu.
“Saya mengambil tindakan segera dengan mengarahkan Pegawai Daerah Nabawan untuk turun ke lokasi bersama pasukan teknikal bagi meninjau situasi semasa di samping menyediakan laporan kerosakan dan anggaran kos yang diperlukan untuk kerja pembaikan,” katanya.