18 SEPT : Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) mendedahkan 60 peratus daripada 60 juta minyak masak bersubsidi digunakan peniaga mikro yang tidak layak.
Timbalan Menterinya, Fuziah Salleh mendedahkan perkara itu bagi menafikan dakwaan kekurangan bekalan minyak masak dalam paket tersebut berpunca akibat aktiviti penyeludupan atau ketirisan.
Meski pun begitu, setakat ini tiada mana-mana peniaga mikro yang dikenakan sebarang tindakan, katanya.
Menurutnya, kaedah itu perlu dielakkan bagi mengelakkan peningkatan harga barangan lain di pasaran.
“Justeru, KPDN akan melaksanakan subsidi bersasar dengan ketetapan baharu iaitu golongan B40, sebahagian kumpulan M40 dan peniaga mikro dikategorikan sebagai penerima, membabitkan 5.8 juta isi rumah.
“Mungkin kita perlu menambah jumlah kuota ini (pada masa hadapan). Justeru, saya berharap akan ada wakil rakyat membangkitkan perkara ini dalam perbahasan Bajet 2024 nanti,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menggulung perbahasan usul Kajian Separuh Penggal Rancangan Malaysia Ke-12 (RMKe-12) di Dewan Rakyat, hari ini.
Dalam pada itu, beliau turut memaklumkan KPDN akan menganjurkan program Jualan Rahmah Beras bagi membantu rakyat yang kini terbeban dengan kenaikan harga makanan itu, esok.
“Tunggu esok, kita lancar Jualan Rahmah Beras. Rakyat akan dapat beras dengan harga diskaun subsidi oleh kerajaan di bawah KPDN,” katanya.
Menurut Fuziah, pihaknya juga akan mengumumkan mekanisme berkaitan program itu nanti.
“Sebenarnya berkenaan kawal selia padi dan beras, kita semua tahu ia berada di bawah Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) daripada A sampai Z.
“Beras adalah barang kawalan, KPDN tidak ada punca kuasa untuk mengawalnya, harga pun kita tidak ada kuasa (untuk kawal) tetapi setiap hari kita mendengar rintihan rakyat, ada yang merayu. Saya juga mendengar rintihan ahli Parlimen yang mewakili rakyat.
“Jadi, KPDN cuba mencari jalan bagaimana dalam ruang lingkup bidang kuasa kita boleh menyelesaikan isu kenaikan harga beras import dan ketiadaan beras tempatan,” katanya.