18 SEPT : Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) memberi jaminan beras dalam negara sentiasa mencukupi bagi menampung keperluan beras negara bagi tempoh empat hingga lima bulan
Menterinya, Datuk Seri Mohamad Sabu berkata KPKM berpandangan Malaysia masih belum ada keperluan mendesak yang bersifat kecemasan untuk menggunakan stok beras kerana stok yang sedia ada mencukupi bagi menampung keperluan domestik.
“Malaysia mempunyai stok bekalan beras sebanyak 900,000 tan iaitu 250,000 tan stok simpanan dan 650,000 tan bagi stok dagangan yang mencukupi bagi menampung keperluan domestik.
“Stok dagangan sedia ada sebanyak 650,000 tan itu masih mencukupi bagi menampung keperluan domestik dan negara masih belum ada keperluan mendesak yang bersifat kecemasan untuk menggunakan stok simpanan beras,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menggulung perbahasan usul Kajian Separuh Penggal Rancangan Malaysia ke-12 (KSP RMKe-12) di Dewan Rakyat, hari ini.
Dalam pada itu, Mohamad berkata KPKM sedang dalam usaha mengadakan pertemuan dengan Menteri Pertanian dan Kebajikan Petani India bagi mencari penyelesaian terbaik dalam isu sekatan makanan eksport.
Katanya, Padiberas Nasional Berhad (BERNAS) juga turut terbabit dalam perundingan bersama negara sumber beras yang lain seperti Vietnam, Thailand dan Kemboja.
“Saya selaku menteri yang bertanggungjawab dalam isu ini akan mengadakan pertemuan dengan Menteri Pertanian dan Kebajikan Petani Negara India dalam masa terdekat,” katanya.
Sementara itu, Mohamad berkata pengeluaran hasil padi negara sedang ditingkatkan supaya mencapai sasaran Kadar Sara Diri (SSR) beras iaitu sebanyak 80 peratus menjelang 2030.
Jelas beliau, antara inisiatif yang dilakukan oleh KPKM adalah dengan melaksanakan program SMART Sawah Berskala Besar (SMART SBB) yang diperluaskan dengan menyasarkan pelaksanaan program di kawasan seluas 150,000 hektar sawah padi dengan purata pengeluaran hasil sebanyak tujuh tan bagi setiap hektar.
“Program-program itu tidak menggunakan sebarang peruntukan tambahan daripada kerajaan, malahan syarikat peneraju yang terbabit akan menanggung kos pelaksanaan operasi sehingga RM3,200 perhektar,” katanya.
Mengulas mengenai kekurangan bekalan beras putih tempatan di pasaran, Mohamad menjelaskan ianya berlaku akibat pembelian panik oleh pengguna dan peniaga.
Selain itu, katanya, kenaikan harga beras import juga menjadikan permintaan terhadap beras putih tempatan melonjak.
“Bila berlaku kenaikan harga beras import begitu tinggi, yang selalu beli beras import berubah pembelian ke beras tempatan dan menyebabkan berlaku kekurangan bekalan beras di pasaran,” katanya. OLEH : AISYAH BADRUL