18 SEPT: Ketua Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) menggesa China memberikan lebih banyak maklumat mengenai asal usul Covid-19 serta bersedia menghantar pasukan kedua bagi menyiasat perkara itu.
Menurut Ketua Pengarah WHO, Tedros Adhanom Ghebreyesus, pihaknya turut menggesa negara lain membangkitkan isu itu dengan turut melakukan desakan terhadap China ketika mesyuarat dua hala.
“Kami mendesak China untuk memberikan akses penuh dan meminta negara lain untuk menggesa Beijing bekerjasama,” katanya, lapor Financial Times.
Ghebreyesus berkata demikian ketika pihak berkuasa kesihatan dan syarikat farmaseutikal di seluruh dunia berlumba-lumba untuk mengemas kini data vaksin bagi memerangi varian Covid-19 yang baharu.
Ghebreyesus turut memaklumkan beliau sudah lama mendesak China untuk berkongsi maklumatnya mengenai asal usul Covid-19
Namun, katanya, sehingga kini tiada tindakan lanjut daripada China serta semua hipotesis berkenaan virus itu masih kekal di atas meja.
Virus Covid-19 mula tular di bandar Wuhan, China pada Disember 2019.
Ia disyaki merebak di pasar haiwan hidup sebelum menular sehingga menyebabkan hampir tujuh juta kematian di seluruh dunia.