PM jawab isu DNAA Zahid di Parlimen esok
18 SEPT : Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim akan menjawab persoalan berkait keputusan melepaskan tanpa membebaskan (DNAA) Timbalannya, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi di Parlimen, esok.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said memaklumkan perkara itu di Dewan Rakyat, pagi ini.
Azalina berkata, sesi Anwar itu mungkin akan berlangsung pada jam 2.30 petang.
“Yang Berhormat tanya saya adakah Perdana Menteri akan menjawab, tuan punya badan ada di sini. Dia (PM) buat ‘good‘ itu dia Anwar jawab esok Insya-Allah jam 2.30 ke 3.30 petang.
“Jadi soalan-soalan itu (berkait DNAA) mungkin Yang Berhotmat boleh tanya tetapi komitmen daripada kita, kerajaan hari ini akan menentukan bahawa kita perlu berlaku adil,” katanya.
Beliau berkata demikian keika menggulung perbahasan usul Kajian Separuh Penggal Rancangan Malaysia ke-12 (KSP RMK12) di Dewan Rakyat, hari ini.
Pada 4 September lalu, Zahid menerima DNAA bagi 47 pertuduhan dihadapinya yang mencetuskan perbincangan pelbagai pihak hingga hari ini.
*Foto : AFIQ HAMBALI/Pejabat Perdana Menteri