18 SEPT : Keputusan terkini Jawatankuasa Warisan Dunia Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNESCO) mengundang kemarahan Israel.
Semalam, UNESCO mengundi tapak arkeologi Tell es-Sultan di Jericho, Palestin sebagai Tapak Warisan Dunia.
UNESCO mengumumkan keputusan itu melalui akaun rasminya di X di mana keputusan itu dicapai pada persidangan yang diadakan di Riyadh.
Keputusan itu disambut baik pihak berkuasa Palestin, namun menimbulkan kemarahan Israel.
Tapak berkenaan terletak di Jericho, Tebing Barat yang diduduki Israel itu menempatkan tinggalan pembangunan sejak millennium kesembilan Sebelum Masihi (SM).
Jericho adalah satu daripada bandar tertua yang didiami di dunia.
Kementerian Hal Ehwal Luar Pihak Berkuasa Palestin melalui kenyataan semalam, mengalu-alukan keputusan itu dan memujinya sebagai pengisytiharan terhadap kepentingan budaya, ekonomi dan politik Jericho.
Katanya, ia juga bukti terhadap pembangunan manusia 10,000 tahun lalu.
Menteri Pelancongan dan Antikuiti Palestin, Rula Ma’ayah menekankan kepentingan keputusan berkenaan dengan menyifatkan tapak terbabit sangat berharga dan sebahagian penting kepelbagaian warisan Palestin.
“Nilai sejagat yang luar biasa bagi tapak itu melayakkannya menjadi satu daripada Tapak Warisan Dunia,” katanya melalui kenyataan kepada CNN.
Sementara, Kementerian Luar Negeri Israel menolak keputusan itu dengan mendakwa tindakan terbabit sebagai satu lagi tanda tindakan sinis Palestin terhadap UNESCO dan mempolitikkan organisasi itu.
Jericho terletak di Lembah Jordan antara Sungai Jordan di timur dan Yerusalem di barat.
Pada tahun 2010, Jericho diraikan sebagai bandar berdinding tertua di dunia sejak Zaman Batu Moden.