19 SEPT : Seramai 56 Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) mengangkat sumpah serta menandatangani surat sebagai Ahli Dewan Negeri yang baharu bagi penggal ke-15 dalam Mesyuarat Pertama (Angkat Sumpah) Persidangan Penggal Pertama di Dewan Negeri Selangor ke-15, hari ini.
Majlis mengangkat sumpah didahului oleh Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari (PKR-Sungai Tua) disusuli 33 ADUN kerajaan diikuti 22 ADUN pembangkang.
Sementara itu, bekas ADUN Banting, Lau Weng San dilantik sebagai Speaker DUN Selangor.
Nama Weng San dicadangkan oleh ADUN Sekinchan yang juga bekas Speaker DUN, Ng Suee Lim dan disokong oleh ADUN Banting, V Papparaidu.
Beliau dipilih selepas mendapat 34 undi mengalahkan Timbalan Pesuruhjaya 3 PAS Selangor, Dr Mohd Fuad Mohd Salleh yang menerima 22 undi.
Sementara itu, ADUN Bukit Antarabangsa Mohd Kamri Kamaruddin dipilih sebagai Timbalan Speaker DUN selepas mendapat 34 undi mengalahkan ADUN Sungai Ramal Mohd Shafie Ngah yang menerima 22 undi.
Jawatan Ketua Pembangkang DUN Selangor bagi penggal ini disandang oleh ADUN Hulu Kelang, Datuk Seri Azmin Ali.
Pada penggal lalu ,jawatan ketua pembangkang dipegang ADUN Sungai Air Tawar dari Barisan Nasional (BN) Datuk Rizam Ismail.