19 SEPT : Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menggesa ahli Parlimen pembangkang agar tidak sombong dan segera berunding dengan kerajaan berkait peruntukan mereka.
Katanya, kerajaan hari ini mencontohi apa yang dilakukan pentadbiran terdahulu, Datuk Seri Ismail Sabri yang membuka ruang rundingan dengan pembangkang sebelum peruntukan diluluskan.
“Pakatan Harapan (PH) yang ketika itu di blok pembangkang berbincangan dengan kerajaan sehingga ia disalurkan selepas perjanjian keyakinan dan pembekalan (CSA) ditandatangani.
“Jadi, runding dahulu, jika setuju kita luluskan, kalau tak sampai bila-bila pun kita tak luluskan,” katanya ketika sesi penggulungan kajian separuh penggal Rancangan Malaysia ke-12 di Dewan Rakyat, hari ini.
Pada zaman pentadbiran Ismail, beliau mengagihkan peruntukan sama rata bagi semua ahli Parlimen di bawah Peruntukan Khas Perdana Menteri.
Sebelum ini, Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata kerajaan perpaduan bersedia memberikan peruntukan kepada ahli Parlimen pembangkang, namun ia hanya membabitkan perbelanjaan berkaitan hal pentadbiran.
Fadilah yang bertanggungjawab mengadakan rundingan itu berkata kerajaan hanya mahu pembangkang mengemukakan tawaran rasmi dalam urusan itu seperti yang dilakukan ketika pentadbiran kerajaan diketuai Ismail sebelum ini.
Kerajaan Perpaduan juga tidak menetapkan sebarang syarat kepada Perikatan Nasional (PN) bagi membolehkan agihan peruntukan disalurkan kepada ahli Parlimen pembangkang.
Sementara itu, Anwar yang juga Menteri Kewangan memberi jaminan sebarang langkah rasionalisasi subsidi yang dilakukan kerajaan tidak akan membebankan rakyat.
Jelas beliau, tindakan penyesuaian itu akan mengambil kira golongan berpendapatan menengah dan rendah.
“Saya bagi jaminan apa pun rasionalisasi subsidi dilakukan kita tidak membebankan golongan berpendapatan menengah dan rendah.
“Ini kerana sebarang penyesuaian membebankan mereka tentu akan menambah beban yang ditanggung golongan miskin,” katanya.
Terdahulu, kerajaan menjelaskan pengurusan subsidi termasuk pengenalan skim subsidi bersasar akan ditambah baik di bawah Ekonomi MADANI. OLEH : AISYAH BADRUL