19 SEPT : Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini menjelaskan di Parlimen bahawa harga petrol tidak boleh diturunkan kepada RM1.50 seliter.
Katanya, ia susulan perkembangan membabitkan kadar semasa minyak mentah dunia.
Beliau yang juga Menteri Kewangan berkata, harga semasa petrol di Malaysia masih berada pada tahap rendah iaitu RM2.05 seliter, berbanding Arab Saudi yang menetapkan pada kadar RM2.84 seliter.
Justeru itu katanya, tidak wajar jika cadangan beliau tahun 2018 itu terus dimanipulasi tanpa mengambil kira perkembangan semasa.
“Masa itu (2018), berapa harga minyak di Arab Saudi, 50 sen per liter, manakala di Malaysia (RM2.21 seliter).
“Sekarang semasa saya jadi perdana menteri, berapa harga petrol? Minyak di Arab Saudi RM2.84 seliter, manakala di Malaysia RM2.05 seliter.
“Kita kena ambil kira ini, kenaikan atau penurunan minyak. Itu maknanya, (harga) minyak kita masih rendah.
“Justeru, tidak tepatlah jika mahu terus menggunakan komen dan hujah dibuat bersama-sama ketika kita dalam Pakatan Rakyat, sebelum ini,” katanya.
Dalam perkembangan lain, Anwar berkata sebarang tindakan undang-undang terhadap mana-mana pihak yang mengeluarkan kenyataan bersifat menghina institusi diraja dibuat bagi mempertahankan kedaulatan institusi itu.
Katanya, tindakan itu diambil bagi memberi keadilan kepada Raja-raja yang mempunyai kedudukan tinggi melangkaui sempadan politik dan tidak wajar mereka diheret ke dalam kancah politik.
“Bila menyentuh kedudukan Raja-raja, itu keputusan Raja-raja supaya tindakan diambil kerana kita harus berlaku adil kepada mereka. Raja-Raja tak boleh jawab di Parlimen, Raja-raja tak boleh jawab dalam media, dalam perbahasan biasa.
Ada perbincangan dengan Raja-raja dan mereka (Raja-raja) ada asas… jangan heret mereka dalam gelanggang politik kerana tidak adil.
“Oleh demikian kita jelaskan kepada polis ambil tindakan. Kalau kritik kerajaan dan perdana menteri, saya tak mahu Akta Hasutan digunakan tetapi kalau sentuh Raja-raja itu terserah.
…dan Raja-raja sudah maklumkan kepada peguam negara, dah maklum kepada polis dan perdana menteri, mereka tidak mahu diheret dalam perbincangan politik,” katanya.