19 SEPT : Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) komited membantu rakyat khususnya kumpulan B40 dengan memberi rawatan secara percuma menerusi Skim Perubatan Madani (SPM).
Menterinya, Dr Zaliha Mustafa berkata SPM diperluas ke seluruh Malaysia bermula 15 September selepas sambutan yang amat menggalakkan sejak ia diperkenalkan pada 15 Jun.
“SPM memberi rawatan hampir 4,000 sehari dan semakin meningkat.
“Kini, lebih 1,300 klinik swasta telah mendaftar dan bekerjasama dalam program ini sebagai panel dalam memberikan perkhidmatan,” katanya ketika sesi penggulungan perbahasan Kajian Separuh Penggal (KSP) Rancangan Malaysia Ke-12 (RMKe-12) di Dewan Rakyat, hari ini.
Dalam pada itu, Dr Zaliha berkata KKM turut mengalu-alukan klinik perubatan swasta di seluruh negara untuk mendaftar sebagai klinik panel SPM.
Beliau turut meminta ahli Parlimen di dalam Dewan Rakyat membantu mempromosi SPM di kawasan mereka bagi memastikan lebih ramai rakyat mendapat kemudahan kesihatan itu.
Sementara itu, Dr Zaliha berkata sebanyak empat institusi mental dan 61 hospital menyediakan perkhidmatan psikiatri dan kesihatan mental yang diketuai pakar perubatan psikiatri di seluruh negara.
Jelas beliau, ia berfungsi memberi perkhidmatan tertiari serta diintegrasikan dengan perkhidmatan kesihatan mental pada peringkat primer melalui perkhidmatan di 1,080 klinik kesihatan di seluruh negara.
“Institut kesihatan mental diumumkan merujuk kepada bangunan kekal yang akan menempatkan Pusat Kecemerlangan Kesihatan Mental Kebangsaan (NCEMH) yang kini beroperasi di Cyberjaya.
“Ia berfungsi sebagai agensi peneraju yang merancang, menyelaras, melaksana dan memantau perkhidmatan serta program kesihatan mental dalam pelbagai aspek membabitkan sektor awam, swasta dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO),” katanya.